suria

Pelajar Sanggup Jalan Kaki Beri Penghormatan Kepada Mangsa MH17

Anggota keselamatan bertugas di laluan ke Kompleks Bunga Raya untuk upacara memperingati tragedi MH17, Sabtu.

SEPANG: Dua pelajar sanggup berjalan kaki sejauh lebih satu kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) untuk ke Kompleks Bunga Raya KLIA dengan hasrat untuk menghadiri upacara memperingati tragedi MH17, Sabtu.

Pelajar Universiti Malaysia Perlis, Koay Chin Sheng, 21, yang kebetulan berada di ibu negara berkata, beliau mengetahui mengenai upacara itu selepas membaca akhbar pagi tadi.

"Pukul 9.30 pagi saya mengajak kawan saya menaiki ERL (Express Rail Link) dari Cyberjaya ke KLIA kerana kami menyangka majlis ini terbuka kepada orang awam," katanya ketika ditemui di luar Kompleks Bunga Raya KLIA.

Walaupun kecewa tidak dapat menyertai majlis itu, rakannya Chin Wai Kit, 21, yang merupakan pelajar Universiti Multimedia berkata mereka hanya menganggap rezeki tidak berpihak kepada mereka.

"Tak dapat masuk pun tak apa. Kami datang hanya untuk beri penghormatan," kata Wai Kit.

Malaysia hari ini mengadakan majlis memperingati tragedi pesawat MH17, sebagai tanda penghormatan kepada mangsa yang terkorban.

Tragedi pada 17 Julai 2014 itu mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan, termasuk 43 rakyat Malaysia.

Penerbangan MH17 itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur semasa ia ditembak jatuh di Ukraine.

Sementara itu, seorang wanita tempatan meninggalkan sejambak bunga matahari di pondok pengawal Kompleks Bunga Raya KLIA itu ketika upacara memperingati tragedi itu sedang berlangsung di dalam kawasan kompleks.

Ketika didekati wartawan, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai kenalan mangsa tragedi MH17 itu berkata seorang lagi kenalannya turut menjadi mangsa tragedi pesawat MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014.

"Saya terlalu sedih, saya tidak dapat bercakap panjang sekarang. Saya hilang dua rakan dalam tragedi MH17 dan MH370," katanya dengan sebak.

Sebelum memasuki kenderaannya, wanita yang berpakaian kasual dengan kemeja hitam dan berseluar jeans itu dilihat bertafakur dan melakukan ritual penghormatan berhampiran kawasan tempat letak kereta kompleks tersebut.-- Bernama


MH17, KLIA, ERL, Koay Chin Sheng

Artikel Lain