suria

Majlis Memperingati Tragedi MH17 Pagi Ini

Kad untuk waris mangsa tragedi MH17 untuk menghadiri upacara memperingati kejadian yang berlaku setahun lalu.

SEPANG: Majlis memperingati tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 diadakan di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pagi Sabtu.

Majlis itu diadakan sempena ulang tahun pertama tragedi pesawat yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lepas, yang mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal termasuk 43 rakyat Malaysia.

Ia dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga turut menyampaikan ucapan.

Kira-kira 1,000 tetamu jemputan hadir pada majlis ini yang disertai menteri-menteri Kabinet, waris dan ahli keluarga mangsa nahas, wakil-wakil kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

Ini termasuk duta-duta dan pesuruhjaya-pesuruhjaya tinggi asing ke Malaysia, pihak pengurusan tertinggi MAS dan kakitangan serta pemimpin-pemimpin pelbagai agama.

Menteri Kabinet yang kelihatan di Kompleks Bunga Raya KLIA ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Antara pengisian majlis yang bermula pada pukul 10 pagi ialah tayangan slot video berkaitan rentetan peristiwa MH17 dan sesi bertafakur.

Kompleks Bunga Raya KLIA juga merupakan lokasi upacara penerimaan jenazah mangsa tragedi pesawat MH17 itu yang dijalankan secara berperingkat tahun lepas.

MH17, KLIA, Ukraine

Artikel Lain