suria

Perkasa Tiada Lokus Standi Untuk Saman Kurup - Mahkamah Tinggi

Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menolak saman fitnah Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup.

Saman itu berhubung kenyataan Kurup pada 24 Disember tahun lepas yang didakwa menggambarkan pertubuhan itu sebagai ekstremis, dan ia menggunakan agama untuk mencetuskan keganasan dan menimbulkan rasa takut dan menjejaskan perpaduan dalam kalangan orang ramai.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng memutuskan Perkasa tidak mempunyai locus standi (kedudukan di sisi undang-undang) untuk menyaman menteri itu kerana kenyataan Kurup tidak berbaur fitnah.

Beliau membuat keputusan itu di dalam kamar selepas membenarkan permohonan Kurup untuk membatalkan saman itu. Beliau memerintahkan Perkasa membayar RM10,000 sebagai kos perundangan kepada defendan.

"Mahkamah bersetuju dengan defendan bahawa plaintif tidak mempunyai kedudukan di sisi undang-undang untuk memfailkan saman terhadap menteri itu," kata Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching yang mewakili Kurup, kepada pemberita.

Hakim mengambil perhatian bahawa terdapat dua penerbitan dan satu daripadanya langsung tidak merujuk kepada Perkasa.

"Oleh itu, saman itu disalah tafsir sebagai sebahagian daripada dakwaan itu merujuk kepada Ibrahim Ali (presiden Perkasa) tetapi saman difailkan di bawah nama Perkasa," kata Siew Kheng.

Sementara itu, peguam mewakili Perkasa, Adnan Seman berkata beliau tidak akan merayu terhadap keputusan hari ini kerana Ibrahim telah memaklumkan kepadanya semalam bahawa Perkasa tidak akan meneruskan kes ini.

Pada 27 Mei tahun ini, Kurup memfailkan permohonan untuk membatalkan saman fitnah Perkasa atas alasan pertubuhan itu tidak mempunyai locus standi dan merupakan salah guna proses mahkamah, remeh-temeh dan menyusahkan.

Perkasa menerusi Ibrahim memfailkan saman itu pada 28 Januari tahun ini, mendakwa kenyataan media Kurup pada 24 Disember tahun lepas mengenai pertubuhan itu adalah mengelirukan dan berbaur fitnah.

Pertubuhan itu mendakwa Kurup juga telah memfitnahnya secara lisan dalam ucapannya pada persidangan 'Malaysian Strategic Outlook' di Petaling Jaya pada 27 Januari tahun ini.

Perkasa berkata kenyataan Kurup menggambarkan pertubuhan itu sebagai ekstremis, yang menggunakan agama untuk mencetuskan keganasan dan menimbulkan rasa takut dan menjejaskan perpaduan dalam kalangan orang ramai.

Plaintif juga mendakwa reputasi dan imejnya tercemar susulan kenyataan defendan itu telah dilaporkan dalam media cetak dan portal-portal berita.-- Bernama

Perkasa, Joseph Kurup, Hue Siew Kheng

Artikel Sebelum

Akaun Bank Rosmah Disiasat

Artikel Lain