suria

Akaun Bank Rosmah Disiasat

Rosmah Mansor

PETALING JAYA: Pasukan Petugas Khas mengesahkan sedang menyiasat dakwaan terbaharu Sarawak Report  bahawa sejumlah RM2 juta dideposit ke akaun milik isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

"Berkaitan dengan pendedahan media mengenai akaun isteri Perdana Menteri, perkara itu sememangnya sudah diketahui oleh Pasukan Petugas Khas sebelum pendedahan itu dan siasatan mengenainya sedang dikendalikan," kata pasukan itu.

Pengesahan itu dibuat menerusi kenyataan bersama Pasukan Petugas Khas yang dianggotai Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Pasukan itu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan penyaluran dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada Khamis Sarawak Report  membuat dakwaan terhadap Rosmah berasaskan maklumat diterima berkaitan sebuah akaun dengan Affin Bank Berhad.

Laman itu mendakwa RM2,000,000 dimasukkan ke dua akaun secara berperingkat-peringkat.

Mengulas lanjut Pasukan Petugas Khas itu menegaskan bahawa siasatan berhubung isu 1MDB dijalankan dengan telus, bebas dan profesional.

"Sehubungan itu, Pasukan Petugas Khas berharap semua pihak tidak mempersoalkan kewibawaan Bank Negara Malaysia, Polis Diraja Malaysia  dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam mengendalikan tugas dan fungsi mereka dalam siasatan ini," katanya.

Rosman Mansor, Najin Tun Razak

Artikel Lain