suria

Rempeyek, Tumpi Tin Nahar Power Jadi Buruan Menjelang Syawal

Pengusaha Nahar Power, Mohd Naharudin Isa, melayan pelanggan yang hendak membeli Rempeyek di kedainya di Plaza Angsana Johor Baharu Mall, Johor.

JOHOR BARU: Kerangupan dan keenakan serta rasa rempah yang segar menjadikan Rempeyek dan Tumpi Tin yang diusahakan gerai 'Nahar Power' menjadi buruan orang ramai di negeri ini menjelang tibanya Syawal.

Pemilik gerai Nahar Power, Mohd Naharudin Isa, 46, berkata dia dan pekerjanya membuat persiapan lebih awal bagi memastikan dapat memenuhi permintaan pelanggan.

"Bila tiba bulan puasa saya akan membuat Rempeyek dan Tumpi ini lebih banyak berbanding hari biasa, kerana banyak pelanggan yang datang menginginkan Rempeyek dan Tumpi ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

Mohd Naharudin berkata beliau sentiasa memastikan kualiti dan rasa Rempeyek dan Tumpi Tin yang dihasikannya.

"Saya kekalkan bahan-bahan yang digunakan sejak 20 tahun, dan menjaga kualiti bahan yang digunakan contohnya bahan yang baik seperti rempah terpilih, minyak berkualiti dan ikan bilis yang segar," katanya.

Berhubung Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), beliau berkata pihaknya tidak  mengenakan GST dan masih mengekalkan harga asal kerana baginya pelaksanaan GST tidak menjejaskan perniagaanya.

"Saya masih mengekalkan harga asal ... saya membuat penjualan secara sistematik yang mampu memberi pulangan memuaskan tanpa pertambahan kos.

"Selain Rempeyek dan Tumpi, gerai ini juga tidak asing lagi bagi pelanggan tetap, yang menjual 80 jenis aneka kuih muih seperti biskut moden dan tradisional yang segar serta berkualiti," katanya.

Mohd Naharudin berkata gerainya turut menawarkan pakej hamper kuih muih kepada pelanggan untuk dijadikan sebagai cenderahati dan hadiah.

"Idea pakej hamper ini diutarakan oleh pelanggan ... kami dengan tangan terbuka menyambut cadangan itu dengan membuat pakej hamper ini bagi memuaskan hati pelanggan kami," katanya. -- Bernama

rempeyek, tumpi, Nahar Power

Artikel Lain