suria

Anggota Tentera Diminta Tidak Terpengaruh Konsep Jihad Kumpulan Militan

TAIPING: Anggota tentera dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan konsep jihad yang dilaungkan kumpulan militan IS di Iraq dan Syria menerusi media sosial dan sumber yang tidak boleh dipercayai.

Panglima Medan Barat Lt Jen Datuk Seri Zulkiple Kassim berkata kumpulan militan ini menjadikan kem-kem tentera sebagai sasaran kerana terdapat kemudahan senjata api di situ.

"Seperti yang kita tahu, kumpulan militan ini mengambil peluang menggunakan media sosial untuk mempengaruhi rakyat Malaysia menyertai kumpulan ini," katanya ketika berucap pada majlis moreh di Kem Town Barrack di sini, malam Isnin.

Terdahulu, beliau berbuka puasa bersama anggota serta pengawai tentera dan seterusnya menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah.

Turut hadir Panglima 2 Divisyen Mej Jen Datuk Fadzil Mokhtar dan Panglima Briged Ke-2 Infantri Malaysia Brig Jen Mohammad bin Ab Rahman.

Sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, Zulkiple menasihatkan anggota tentera yang bercuti supaya berhati-hati di jalan raya ketika pulang ke kampung masing-masing.

"Saya menyeru kepada semua anggota tentera yang pulang berhari raya dikampung agar tidak terlalu ghairah untuk beraya supaya tidak berlaku kemalangan dan rebutlah peluang ini untuk bersama keluarga tercinta," katanya.

Tentera, IS

Artikel Lain