suria

WSJ: Pemimpin, Ahli Umno Diminta Bertenang - Ku Nan

PETALING JAYA: Pemimpin dan ahli Umno diminta memberi ruang kepada Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan pelbagai isu dan dakwaan termasuk tuduhan pindahan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaun peribadi Perdana Menteri.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pemimpin dan ahli Umno perlu mengambil sikap bertenang dan berfikir secara rasional terutamanya serangan bertali arus terhadap Najib.

"Seharusnya kita terus memberikan sokongan padu kepada pemimpin atasan kita serta memberi ruang kepada beliau untuk memikirkan tindakan yang sewajarnya diambil demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

"Pada masa sama, saya meminta semua ahli Umno untuk terus fokus kepada perjuangan parti selaras dengan gerak kerja yang telah diatur,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Selain itu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan meminta ahli Umno supaya berwaspada dengan usaha pihak luar khususnya pembangkang bagi merobohkan perpaduan dalaman parti itu.

"Usahlah kita terpengaruh dengan pelbagai manipulasi dan provokasi yang dilontarkan, malah sikap mereka yang kononnya gemar menangguk di air keruh juga perlu kita awasi,” katanya.

Baru-baru ini Najib dihimpit pelbagai tuduhan dan dakwaan salah laku termasuk yang terbaharu apabila media asing, Wall Street Journal (WSJ) menyiarkan artikel dengan memetik ‘penyiasat yang tidak dinamakan’ mendakwa dana hampir RM2.67 bilion milik 1MDB disalurkan ke akaun peribadinya.


Tengku Adnan Tengku Mansor, WSJ, 1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain