suria

Wanita Dibaham Buaya Ketika Menangkap Ikan Di Saratok

SIBU: Seorang wanita maut selepas beliau dipercayai dibaham buaya ketika menangkap ikan di Sungai Krian, Saratok petang Isnin.

Mangsa, Bera Aun, 46 dari Rumah Panjang Minggu dipercayai hilang kira-kira pukul 5 petang.

Ketua Polis Daerah Saratok Deputi Superintendan Lee Thai Lien yang mengesahkan kejadian berkata, pihaknya menerima laporan pada 5.04 petang dan memaklumkan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), dan Jabatan Pertahanan Awam bagi melancarkan operasi mencari dan menyelamat.

Menurut beliau, mangsa kemudiannya dijumpai oleh pasukan mencari dan menyelamat beserta penduduk kampung di lokasi satu km dari tempat kejadian pada kira-kira 7 malam.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Saratok.

Serangan buaya sering dilaporkan berlaku di Sungai Krian dan anak sungainya yang terkenal sebagai tempat memancing udang.

Pada Jun tahun lepas, seorang remaja lelaki Telecson Ancharang, 13 terselamat daripada serangan reptilia itu sewaktu memancing udang bersama pakciknya Ngelambong Chundai di Sungai Supa, Senyawan, Krian.

Mangsa mengalami kecederaan pada pergelangan tangan kiri dan kedua-dua belah kakinya. -- Bernama

Saratok, Bera Aun, buaya

Artikel Lain