suria

Sepasang Kekasih Disabit Menculik Kekal Di Penjara

PUTRAJAYA: Sepasang kekasih dan rakan subahat yang disabitkan menculik seorang pelajar kolej lebih empat tahun lalu akan kekal dipenjara.

Juruteknik Komputer I. Shatisruben, teman wanitanya yang menganggur G.Vasantha Kumari dan pekerja kilang Mujahidin Nazardin gagal dalam rayuan mereka untuk mengetepikan hukuman penjara seumur hidup yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Ketika menolak dengan sebulat suara rayuan mereka, panel tiga anggota Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Aziah Ali berkata mahkamah mendapati sabitan mereka adalah wajar.

"Kami tidak mendapati sebarang merit pada isu dibangkitkan (oleh peguam mereka)," kata beliau.

Panel yang turut dianggotai hakim-hakim Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Ahmadi Asnawi juga mengekalkan hukuman enam sebatan masing-masing ke atas Shatisruben, 27, dan Mujahidin, 23.

Vasantha Kumari, 26, terlepas dari hukuman sebat kerana dia seorang wanita.

Ketiga-tiga mereka didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 27 Jun 2013 menculik seorang pelajar perempuan kini berusia 27 tahun, di hadapan sebuah rumah di Jalan 8A, Selayang Baru di Batu Caves, pada 5.45 pagi pada 1 Disember, 2010 untuk mendapatkan wang tebusan RM30,000.

Menurut fakta kes, mangsa sedang berjalan menuju ke rumah saudaranya bila dia didatangi oleh Shatisruben dan Mujahidin yang kemudian menariknya masuk ke sebuah Toyota Avanza dengan Vasantha Kumari sedia berada di dalamnya.

Mangsa dikurung dalam bilik sebuah rumah di Selayang Baru selama empat hari dan dibebaskan di Bukit Bintang bila wang dibayar.

Ketiga-tiga mereka ditahan selepas polis mengejar mereka mengakibatkan kenderaan MPV berkenaan terbalik di jalan raya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurshafini Mustafha (ulang: Nurshafini Mustafha) berkata pindaan kepada Akta Keadilan Jenayah (Pindaan) 2007 telah melanjutkan hukuman penjara seumur hidup dari 20 tahun kepada 30 tahun.

Sathisruben diwakili peguam S. Sundarajan sementara peguam Joshua Kevin mewakili Vasantha Kumari, dan peguam Sreekant Pillai bagi pihak Mujahidin.

kekasih, culik, penjara

Artikel Berikut

Artikel Lain