suria

Beku Akaun Bank PM & Keluarga - MP Klang

Charles Santiago.

KLANG: Akaun bank Perdana Menteri dan keluarganya perlu dibekukan susulan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Pasukan Penyiasat Khas sedang menyiasat dakwaan sejumlah dana milik 1MDB disalurkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak.

Santiago berkata, sebarang urusniaga melibatkan sejumlah wang yang besar sepatutnya menarik perhatian Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dimaklumkan mengenai kemungkinan berlakunya salah laku.

"Namun memandangkan institusi negara tidak bebas dan dibawah kawalan Perdana Menteri, mereka tidak boleh bertindak (untuk menjalankan siasatan).

"Dalam konteks ini, saya fikir adalah adil untuk meminta akaun bank keluarga Najib dibekukan bagi membantu siasatan," kata Santiago apabila ditemui selepas membuat laporan polis bersama 73 yang lain di Ibu Pejabat Daerah Klang Selatan di sini, Ahad.

Beliau turut mendesak Najib untuk pergi bercuti sehingga siasatan selesai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar turut berkata, Najib harus meletak jawatan.

Jelas beliau, tindakan tersebut akan diambil oleh sesiapa sahaja yang berada di kedudukannya.

"Terdapat banyak kerosakan yang dilakukan di dalam negara kita sekarang.

"Jika beliau tidak mempunyai kekuatan untuk mengetahui permasalahan yang dialami sekarang, bubarkan Parlimen dan biar rakyat tentukan siapa yang akan memerintah negara ini," katanya.

Xavier berkata, dalam proses demokrasi yang matang, perdana menteri tidak sepatutnya menjadi menteri kewangan.

"Sekarang anda lihat konflik berkepentingan telah berlaku," dakwa beliau.

beku akaun, Najib Tun Razak, 1MDB

Artikel Lain