suria

Sarawak Report Cuba Porak-Peranda Pimpinan Negara - Abang Johari

KUCHING: Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, laman web Sarawak Report cuba memporak-perandakan pimpinan serta politik negara melalui laporan yang mempunyai unsur fitnah.

Beliau berkata Sarawak juga sering kali menjadi mangsa laporan berunsur fitnah dibuat oleh laman web tersebut namun yakin masyarakat mampu menilai setiap laporan yang dibuat sama ada betul atau tidak.

"Kita tahu bahawa Sarawak Report ini, laporan-laporanya sangat 'was-was'...entah betul entah tidak (laporan itu) sebab ada fitnah. Apabila tertangkapnya bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PSI) Xavier Justo sudah tentu beri gambaran banyak laporan yang dibuat Sarawak Report tidak mempunyai kesahihan.

"Begitu juga dahulu laporan-laporan Sarawak Report mengenai kepimpinan di Sarawak juga tidak mempunyai kesahihan...jadi apa saya boleh kata ialah anda abaikan sahaja apa juga yang dilaporkan oleh Sarawak Report," katanya.

Abang Johari, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Ihsan Ramadan 2015 dan Pengagihan Bubur Lambuk Kawasan Satok, di Dewan Datu Merpati SK Merpati Jepang, di sini, Sabtu.

Hadir sama Menteri Kerja Raya merangkap Anggota Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Mengulas lanjut, Abang Johari, yang juga Menteri Perumahan Sarawak, turut menegaskan Sarawak akan terus menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menghadapi pelbagai dakwaan palsu dilemparkan terhadap beliau.

"Sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) kita akan pertahankan pemimpin kita. Kerana seperti saya katakan tadi, laporan yang dibuat Sarawak Report adalah fitnah dan perdana menteri juga telah membuat penafian.

Ditanya sama ada laporan Sarawak Report akan menjejaskan persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri yang akan datang, Abang Johari yakin rakyat negeri ini tahu menilai setiap laporan yang dibuat itu sama ada betul atau berunsur fitnah. -- Bernama


Artikel Lain