suria

Bank Boleh Sahkan Akaun Wujud Atau Tidak - Rafizi

Rafizi Ramli

PETALING JAYA: Bank Negara dan AmBank dapat mengesahkan sama ada akaun bank menggunakan nama Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar wujud atau sebaliknya.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, kebenaran mengenai laporan Wall Street Journal (WJS) yang menyatakan bahawa berbilion ringgit disalurkan kepada akaun peribadi Perdana Menteri itu boleh dibuktikan dengan mudah jika bank terlibat mengesahkan kewujudan akaun yang disebut menerusi laporan itu.

Rafizi berkata, AmBank perlu membersihkan namanya susulan pendedahan terdahulu di mana tiga pegawai tertinggi bank itu dipindahkan kerana pemegang saham tidak berpuas hati dengan penglibatannya berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad(1MDB).

"Laporan WSJ sekali lagi menimbulkan persoalan tentang sejauh mana penglibatan AmBank dalam hal-hal berkaitan 1MDB dan Najib.

"Untuk membersihkan nama organisasi itu, AmBank hendaklah mengesahkan atau menafikan sama ada nombor akaun di bawah nama Perdana Menteri seperti yang didedahkan oleh WSJ benar-benar wujud atau tidak.

"Ini dapat memberi indikasi jelas kepada orang ramai jika Najib benar-benar menerima dana awam untuk kegunaan peribadi," kata Rafizi dalam satu kenyataan, Sabtu.

Ahli Parlimen Pandan juga menggesa Bank Negara untuk menggunakan kuasa di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan bagi mendapatkan kebenaran berhubung kontroversi ini.

"Sekiranya akaun bank tersebut benar-benar wujud, maka siasatan segera perlu dijalankan dan Najib perlu mengambil cuti sementara siasatan dijalankan," katanya lagi.

Pada Jumaat, WSJ mendedahkan hampir AS$700 juta (RM2.7bil) disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Najib.

Rafizi Ramli, WSJ, Perdana Menteri

Artikel Lain