suria

Polis Thailand-Malaysia Bincang Kes Justo Minggu Depan

LUNDU: Timbalan Ketua Polis Negara akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Thailand di Kuala Lumpur minggu depan berhubung kes penangkapan bekas eksekutif PetroSaudi Xavier Justo, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi berkata kedua-dua pemimpin itu akan membincangkan permintaan Malaysia untuk menemui Justo yang sedang ditahan di Thailand.

Wan Junaidi menyatakan demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kepada orang kurang upaya, warga emas, masjid, surau dan berbuka puasa bersama umat Islam di Masjid Darul Taqwa Daerah Lundu di sini, petang Sabtu.

Beliau berkata, dalam kes berkenaan pihak berkuasa negara ini tidak boleh terlibat dalam penyiasatan, sehingga ia mendapat kebenaran pihak berkuasa Thailand.

Kita kena lihat dari segi bidang kuasa kerana walaupun kes ini melibatkan syarikat di Malaysia (1MDB) tetapi Justo ditangkap di Thailand dan kesalahan dilakukan di Thaland," kata beliau.

Sehingga pihak berkuasa Thailand memberi kebenaran, barulah Malaysia membuat siasatan dari sudut kita, kata Wan Junaidi.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya pihak Thailand memerlukan bantuan daripada Malaysia, pihak polis dan KDN bersedia untuk memberi kerjasama. 

Wan Junaidi juga berkata beliau yakin bahawa pihak Thailand tidak akan membenarkan Justo dibawa ke Malaysia untuk menghadapi undang-undang di negara ini sehingga kesnya selesai di mahkamah Thailand. 

Kalau ada pun siasatan setelah mendapat kebenaran, polis Malaysia terpaksa pergi ke Thailand untuk tujuan itu, katanya. -- Bernama


Justo, polis, Thailand

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain