suria

Lapan Sekolah Di Sabah Rosak Dilanda Ribut

KOTA KINABALU: Lapan sekolah rendah di empat daerah di Sabah mengalami kerosakan akibat ditiup angin kencang yang melanda sebahagian kawasan pantai barat pada petang Sabtu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah Datuk Jame Alip berkata, empat sekolah tersebut terletak di sini, Kota Belud, Kudat dan Marudu.

Beliau berkata di Kota Kinabalu, ia melibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Lapasan, SK Sembulan dan SK Talungan manakala di Kota Belud, ia melibatkan SK Kebayau dengan bumbung satu blok bangunan sekolah diterbangkan angin.

Bumbung satu blok SK Kuala Abai di Kota Belud juga terbangkan angin manakala sebuah tangki air SK Menunggui turut terjatuh, katanya.

Di Kudat, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina St Peter mengalami kerosakan pada siling manakala di Kota Marudu sebahagian bumbung kelas berupa kabin SK Ranau turut rosak.

"Kebanyakan kerosakan yang dialami adalah pada bumbung," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Jame berkata SK Kiau di Kota Belud turut dilanda banjir lumpur kira-kira pukul 1 pagi semalam.

Katanya ia merupakan kejadian kali kedua selepas 16 Jun lalu dan banjir kali ini melibatkan rumah guru, satu blok bangunan, stor dan dewan makan sekolah.

Beliau berkata Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah akan mengambil tindakan segera bagi memastikan kebajikan dan keselematan guru dan murid terbabit adalah terjamin.

Katanya sesi pembelajaran akan berjalan seperti biasa.-- Bernama


ribut, Sabah, Jame Alip, Kota Belud

Artikel Lain