suria

YPS Harap Hasil Simposium Diterap Dalam Rangka Tindakan Pembangunan Kaum India

KUALA LUMPUR: Pengerusi Yayasan Pemulihan Sosial (YPS), Datuk Seri S Samy Vellu berharap hasil dua simposium kebangsaannya akan dimasukkan ke dalam rangka tindakan bagi pembangunan sosio ekonomi masyarakat India.  

Beliau mengalu-alukan langkah kerajaan untuk menyediakan rangka tindakan itu sambil berkata, pegawai dari Pejabat Perdana Menteri telah menyertai kedua-dua simposium YPS itu dan berharap mereka memberi komitmen dan kerjasama yang serius.

"Kita harus ingat bahawa kebimbangan masyarakat India bukan lagi sekadar kebimbangan masyarakat, ini adalah kebimbangan nasional kerana teras utama  agenda Perdana Menteri ialah pembangunan inklusif," katanya dalam ucapan aluannya pada Simposium Kebangsaan Kedua YPS 2015 bertajuk 'Mengkaji Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) (2016-2020): Meneroka Peluang & Memanfaatkan Ke Dalam Peruntukan'," di sini Ahad.

Rangka tindakan bagi pembangunan sosio ekonomi masyarakat India merupakan antara intipati RMK-11 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada 21 Mei lepas.

Samy Vellu berkata YPS akan mengemukakan dua laporannya bertajuk  'Transformational Agenda for Community Reliance and Cohesion' beserta senarai 10 kebimbangan utama dan cadangan masyarakat India, dan cadangan "Lima Bidang Teras Strategik" kepada Najib tidak lama lagi, dan berharap tindakan segera diambil terhadap syor-syor yang dikemukakan.

Biarlah kita mempunyai pandangan positif. Perdana Menteri sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-10, mewujudkan empat unit khas dengan pengambilan kakitangan sepenuh masa oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.  

"Perdana Menteri telahpun mengiktiraf lapan isu dan kebimbangan yang kritikal. Ini adalah usaha yang dijalankan dan Jawatankuasa Kabinet mengenai kebimbangan kaum India dipengerusikan oleh Perdana Menteri, dan semua ini adalah usaha utama oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.

Mengenai RMK-11, Samy Vellu berkata terdapat keperluan untuk menubuhkan sistem maklumat dan penyebaran untuk memastikan kaum India tidak ketinggalan di bawah sasaran kerajaan untuk meningkatkan purata pendapatan isi rumah B40 dari kira-kira RM2,500 sebulan pada 2014 kepada lebih RM5,000 sebulan menjelang 2020. 

"Kita mesti menyediakan proses berganding bahu untuk bekerja bersama golongan miskin di bandar, pekerja ladang dan keluarga berpendapatan rendah yang tinggal di rumah pangsa supaya mereka juga boleh memanfaatkan mobiliti sosial dan kesejahteraan," katanya.

Samy Vellu berkata usaha perlu dijalankan untuk memastikan bantuan sampai kepada kira-kira 695,030 kaum India Malaysia yang berada di paras bawah 40 peratus atau B40, dengan 139,010 keluarga tinggal di 38 daerah di sembilan negeri yang memperoleh pendapatan kurang RM2,537 sebulan.   

Oleh itu, YPS berharap dapat menubuhkan pusat operasi di semua 38 daerah ini untuk membantu mereka, dan bagi tahun ini, pertubuhan itu akan mengorak langkah penubuhan tiga pusat operasi di tiga daerah, katanya.

-- BERNAMA
YPS

Artikel Lain