suria

Dyana, Rara Model Hangatkan PRK Pmtg Pauh

BUKIT MERTAJAM: Berbaki dua hari sebelum pemilih berdaftar dalam Parlimen Permatang Pauh menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi, pembangkang mula merancakkan kempen khususnya bagi menarik sokongan pengundi luar.

Tidak ketinggalan dua gadis cantik yang menjadi ikon muda DAP iaitu Dyana Sofya Mohd Daud dan Syefura Othman atau Rara turut ‘menghangatkan’ kempen ‘Jom Balik Undi’ bagi pihak Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Muncul dalam poster ringkas yang disebarkan di laman sosial sejak petang Ahad, Dyana Sofya dan Rara masing-masing anggun mengenakan baju kurung tradisional berwarna merah jambu sementara Rara dilihat memakai baju kurung berwarna hitam.

Walaupun terpaksa menjalani pengambaran di bawah panas terik di tengah-tengah sawah padi yang menghijau, kedua-dua gadis muda DAP itu gembira dapat turut sama membantu calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam PRK Permatang Pauh.

Menurut Dyana Sofya yang pernah menjadi calon DAP dalam PRK Parlimen Teluk Intan tahun lalu, seruan kepada pengundi luar supaya pulang mengundi adalah penting dalam memastikan kemenangan di pihak Pakatan Rakyat.

Berdasarkan pengalamannya, Dyana Sofya berkata jumlah keluar mengundi termasuk pengundi luar yang tinggi sangat penting khsusnya dalam pilihan raya kecil.

"Undi daripada pengundi luar sangat mustahak…saya minta sangat-sangat supaya mereka pulang beramai-ramai tunaikan tanggungjawab.

"Walaupun PKR menang dengan majoriti yang tinggi melebihi 11,000 undi dalam PRU-13 lalu, tapi jangan lupa mereka pernah hampir tewas pada 2004 apabila hanya menang dengan majoriti 590 undi. Kita tak boleh rasa selesa," katanya kepada mStar Online pada Isnin.

Katanya lagi, Pakatan Rakyat harus berusaha memastikan jumlah keluar mengundi pada khamis ini melebihi 70 peratus daripada keselurusan pemilih berdaftar di Permatang Pauh.

Sementara itu Rara yang turut menyertai kempen PRK Permatang Pauh sejak 2 Mei lalu berkata, pengundi luar dikalangan orang muda tidak boleh memandang ringan kepentingan pilihan raya kali ini.

Justeru katanya, DAP mengambil peranan untuk berkempen melalui laman sosial bagi mempromosikan kempen ‘Jom Balik Undi’.

"Alhamdulillah maklum balas yang kita terima sangat baik, kami harap mereka akan pulang tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

"Walaupun PRK Permatang Pauh diadakan pada hari bekerja, pengundi luar diharap dapat meluangkan masa untuk balik ke kampung masing-masing pada Khamis ini," katanya.

Permatang Pauh, DAP, PKR

Artikel Lain