suria

Najib Lakukan Lawatan Kerja Dua Hari Ke Singapura

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan lawatan kerja dua hari ke Singapura bermula Isnin bagi menghadiri Pemukiman Ke-6 Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura.

Semasa sesi pemukiman itu, Najib dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, disusuli dengan mesyuarat perwakilan dengan kedua-dua pihak akan membincangkan pelbagai isu dua hala kepentingan bersama dan menyemak perkembangan kerjasama hubungan dua hala sedia ada, termasuk inisiatif yang dipersetujui semasa sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin 2014.

Menurut kenyataan Kementerian Luar di sini hari ini, Memorandum Persefahaman antara Malaysia dan Singapura Mengenai Kerjasama dalam Pembangunan Keupayaan Dalam Pencarian dan Penyelamatan Urban dan Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian antara Malaysia dan Singapura Mengenai Pembinaan dan Operasi Terminal Feri dan Perkhidmatan Feri antara Semenanjung Malaysia dan Singapura akan ditandatangani pada sesi pemukiman itu.

Pada lawatan itu, Perdana Menteri akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, beberapa menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan.

"Perdana Menteri juga dijadual mengadakan pertemuan dengan wakil Persatuan Komuniti Malaysia di Singapura dan menghadiri sesi dialog dengan ahli perniagaan terkemuka di Singapura," menurut kenyataan itu.

Najib juga dijadual menyampaikan ucap tama pada majlis makan malam tahunan Persatuan Ekonomi Singapura (ESS) esok.

Pada 2014, Singapura merupakan rakan dagang Malaysia yang kedua terbesar di peringkat global dan juga merupakan rakan dagang terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah keseluruhan perdagangan sebanyak RM194.52 bilion (US$59.5 bilion), antara kedua-dua negara.

Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan Singapura.

Singapura, Najib

Artikel Lain