suria

Dewan Rakyat Umum Anwar Ibrahim Hilang Kelayakan

KUALA LUMPUR: Dewan Rayat pada Khamis dimaklumkan secara rasmi mengenai status kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini bukan Ahli Parlimen Permatang.

Keputusan itu diumumkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ismail Said sebelum sesi soal jawab lisan di sini.

"Bagi Yang Berhormat Permatang Pauh diputuskan pada 16 Mac lalu bahawa hukuman penjara untuk tempoh lima tahun yang dikenakan kepadanya hendaklah diteruskan.

"Oleh yang demikian Permatang Pauh telah hilang kelayakannya sebagai Ahli Parlimen pada 16 Mac iaitu sebaik sahaja petisyen bagi suatu pengampunan itu diputuskan,” katanya.

Peguam Kanan Persekutuan, Amarjeet Singh pada Rabu berkata Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui keluarga ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Pada 24 Februari lalu, isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha menyerahkan petisyen pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Keputusan berhubung rayuan Anwar itu turut dimaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada Rabu.

Dewan Rakyat, Permatang Pauh

Artikel Lain