Tentera Diingat Elak Jadi Duri Dalam Daging - Semasa | mStar

Tentera Diingat Elak Jadi Duri Dalam Daging

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
ARAU: Anggota tentera diingatkan sentiasa berwaspada dengan pengaruh persekitaran di dalam dan luar negara bagi mengelak terjebak menjadi 'duri dalam daging' yang mensia-siakan perjuangan wira negara.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah ramai pejuang negara syahid mempertahankan ibu pertiwi serta ramai menjadi cacat manakala isteri menjadi balu dan anak-anak kehilangan tempat bergantung.

"Sebagai benteng hadapan negara, jangan sesekali 'menjual' maruah. Ingatlah perjuangan waira kita yang terdahulu. Semoga pengorbanan mereka dirahmati dan roh mereka ditempatkan bersama para syuhada," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Komander Rejimen 504 Askar Wataniah bertitah pada sambutan Hari Tentera Darat Malaysia (TDM) ke-82 peringkat negeri di Masjid Al-Rashid, Kubang Perun di sini, malam Jumaat yang dihadiri semua pasukan TDM di Perlis.

Keberangkatan tiba Tuanku Syed Faizuddin disambut Panglima 30 Briged Rejimen Sempadan Brig-Jen Zainal Abidin M. Said dan para pegawai kanan tentera.

Menurut baginda sebagai pasukan yang harus berada pada kesiapsiagaan tertinggi, anggota TDM tidak boleh alpa kerana mereka mempunyai tanggungjawab dan amanah amat besar untuk dilaksanakan.

"Beta mahu setiap anggota mengelak terbabit dengan gejala negatif yang mencemarkan nama baik institusi ketenteraan. Letakkan kepentingan perkhidmatan mengatasi kepentingan peribadi semoga apa jua cabaran dan halangan dapat diatasi dengan penuh keyakinan," titah Tuanku Syed Faizuddin.

Terdahulu pada sebelah petang baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menyertai 'Program Kayuhan Kasih' berbasikal sejauh 14 kilometer bermula di padang kawad Kem Oran di sini.

Program itu turut disertai 200 anggota tentera dan Kelab Berbasikal TTG Perlis dan mereka turut bersama Tuanku Syed Faizuddin menunaikan solat maghrib dan isyak berjemaah di Masjid Al-Rashid.

Dalam program kayuhan itu baginda berkenan singgah di empat buah rumah asnaf bagi menyampaikan bantuan, menyaksi sukan rakyat serta menyertai gotong-royong membersih masjid dan tanah perkuburan.

Turut diadakan pemeriksaan kesihatan, ceramah agama dan gotong-royong memasak makan tengah hari dan malam oleh anggota tentera bersama penduduk kampung di Masjid Al-Rashid.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

WKB 2030: Perangi rasuah, selamatkan pembangunan ekonomi negara

TUN Dr Mahathir Mohamad ulangi saranan supaya menghapuskan gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang menghalang pengagihan kekayaan secara adil.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

Artikel Lain