suria

Pekerja Maut Dihempap Gelung Besi Atas Kapal

BUTTERWORTH: Seorang pekerja maut dipercayai ditimpa gelung besi ketika memunggah barang di atas sebuah kapal dagang di Pelabuhan Dermaga Dalam di sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, M.Parasuraman, 45, maut di tempat kejadian manakala rakannya M.Panner Selvan, 29, cedera di pinggang selepas ditimpa gelung besi yang dianggar seberat empat tan.

"Mangsa bersama rakan sekerjanya sedang melakukan kerja dalam kapal yang tiba dari China dengan membawa gelung besi. Mayatnya ditemui dalam keadaan badan berlipat di bawah gelungan besi dan dia dipercayai mati berikutan sukar bernafas di samping mengalami kecederaan," katanya di sini, Ahad.

Beliau berkata, beberapa pekerja lain yang turut berada di situ tidak sempat menyelamatkan mangsa.

Mangsa dan tiga rakannya dikatakan sedang mengikat gelung besi terbabit sebelum diangkat dengan kren, namun mereka hilang kawalan menyebabkan gelung berkenaan menghempap mangsa dan seorang lagi rakannnya, katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat manakala rakannya turut dihantar ke hospital sama.


Artikel Berikut

Tiada Pengganti Anwar Lagi

Artikel Lain