suria

Adenan Satem Penasihat Rela Sarawak

Adenan Satem.

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem dilantik sebagai Penasihat Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) negeri pada sambutan ulang tahun Rela Ke-43 peringkat Kebangsaan di sini, Ahad.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem pula dilantik sebagai Pesuruhjaya Rela negeri.

Upacara pemakaian pangkat itu disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada majlis itu.

Terdahulu, dalam ucapannya Ahmad Zahid berkata, sambutan peringkat kebangsaan yang julung kali diadakan di negeri ini, merupakan sokongan penuh kepada Adenan sebagai ketua menteri yang baharu.

"Kami akan melaksanakan arahan beliau dan kerajaan negeri bagi meneruskan manfaat kepada rakyat serta memastikan keselamatan dan keamanan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata, anggota Rela sangat komited dan bersemangat dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

"Kami menjemput 5,000 anggota ke majlis ini tetapi yang hadir mencecah 7,000 orang, ini petanda yang baik buat negara," katanya.

Ahmad Zahid berkata, Rela mahu merekrut kira-kira 250,000 anggota baharu di Sarawak menjelang hujung tahun ini.

Pada masa ini, terdapat 260,000 anggota Rela di Sarawak. 

Beliau berharap kerajaan negeri dan Anggota Parlimen negeri  ini dapat terus menyokong Rela dengan memberi peruntukan kewangan bagi membeli pakaian seragam dan kemudahan lain.

Ahmad Zahid kemudian melancarkan Buku Rancangan Strategik Rela 2015-2020. Pada majlis itu, Adenan turut menyampaikan bayaran kepada tiga balu anggota Rela sebanyak RM42,000 setiap seorang dan RM10,000 kepada seorang anggota Rela untuk bayaran perubatannya di bawah skim perlindungan insurans berkumpulan.

Adenan Satem

Artikel Lain