suria

Perkeso Lanjut Tempoh Bayar Caruman Bulanan Kepada Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengumumkan tempoh pembayaran caruman bulanan kepada pelanggannya yang terlibat dalam bencana banjir dilanjutkan bagi meringankan beban kewangan mereka.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk K. Selvarajah berkata pelanjutan tempoh kepada majikan dan orang berinsurans itu melibatkan caruman bagi bulan lepas hingga Februari 2015.

"Bayaran itu boleh dibuat selewat-lewatnya pada 30 April 2015," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, tempoh pembayaran caruman bulanan seterusnya iaitu Mac 2015 adalah mengikut tempoh yang ditetapkan iaitu selewat-lewatnya 30 April 2015.

"Bagaimanapun, pelanjutan tempoh pembayaran caruman dan pengecualian Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) ini tidak menghalang orang berinsurans untuk membuat tuntutan faedah Perkeso," katanya.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pula menawarkan pengecualian caj bagi penggantian dokumen tawaran pinjaman dan kad Sijil Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) yang musnah akibat banjir.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata mana-mana peminjam yang ingin memohon penggantian tersebut boleh menghubungi mana-mana 25 buah pejabat atau cawangan PTPTN di seluruh negara.

"Selain itu, peminjam di kawasan banjir yang mempunyai masalah kewangan dan tidak dapat meneruskan tanggungjawab untuk membayar balik boleh tampil berunding dengan PTPTN bagi menjadualkan semula pinjaman mereka," katanya pada sidang media Misi Bantuan Pasca Banjir PTPTN.

Terdahulu, Shamsul Anuar melepaskan konvoi Misi Bantuan Pasca Banjir PTPTN yang disertai 100 sukarelawan terdiri daripada pegawai perbadanan itu dari seluruh negara untuk kerja-kerja pembersihan dan menyalurkan bantuan persekolahan di Kelantan.

Shamsul Anuar berkata pihaknya turut menyediakan peruntukan RM2 juta serta bantuan keperluan persekolahan yang dijangka memanfaatkan kira-kira 28,000 pelajar di kawasan-kawasan terjejas teruk semasa banjir di Kelantan, Pahang, Terengganu dan Perak. 

Perkeso, mangsa banjir, FCLB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain