suria

Bank Rakyat Umum Produk Baharu Untuk Mangsa Banjir

Najib Tun Razak (depan, dua, kanan) melihat potret gambar bekas Perdana Menteri Kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein semasa merasmikan Dewan Tun Abdul Razak sempena Majlis Pelancaran Menara Kembar Bank Rakyat di sini, Khamis.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan produk terbaharu Bank Rakyat untuk mangsa banjir,  Peribadi-i.

Produk itu ditawarkan dengan pembiayaan maksimum sebanyak RM50,000, pada  kadar keuntungan bermula daripada serendah 3.9 peratus, dan tempoh pinjaman sehingga tujuh tahun.

"Pembiayaan Peribadi-i ini akan membantu mangsa banjir di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Johor.

"Ia terbuka kepada penjawat awam, swasta dan pesara," kata Perdana Menteri dalam ucapannya pada majlis Perasmian Menara Kembar Bank Rakyat.

Antara syarat yang dikenakan kepada pemohon ialah mereka perlu mengemukakan bukti atau dokumen pengesahan sebagai mangsa banjir daripada Majlis Keselamatan Negara atau laporan polis.

Tempoh tawaran bagi produk tersebut ialah selama sebulan bermula 19 Januari hingga 19 Februari.

Sementara itu, Najib berkata dalam tempoh 60 tahun, Bank Rakyat telah berkembang daripada sebuah koperasi kredit kepada bukan sahaja bank koperasi terbesar di Malaysia, malah sebagai institusi kewangan Islam kedua terbesar negara.

Menurutnya bank berkenaan mencatat keuntungan sebelum cukai dan zakat melebihi RM2 bilion sejak 2011, dan kini berada pada kelompok lima institusi kewangan terbaik dalam aspek keuntungan di Malaysia pada 2013.

Di peringkat global, berdasarkan penyenaraian majalah The Banker Top 1,000 World Bank 2014, Bank Rakyat merupakan institusi kewangan keenam terbesar di Malaysia dan ke-273 di dunia.

"Selain itu, Bank Rakyat menerima anugerah sebagai 'Bank Islam Terbaik 2014' daripada Global Islamic Finance Award (Gifa).

"Ini membuktikan keupayaan rakyat negara ini untuk mencapai apa yang dikatakan 'global recognition' atau pengiktirafan global, sesuatu yang tidak mudah dicapai, terutama dalam sektor perbankan," kata Najib.

Justeru, Najib berharap Bank Rakyat, bersama institusi kewangan yang lain dapat terus memainkan peranan untuk merancakkan ekonomi negara, bukan sahaja dari segi pertambahan keluaran dalam negara kasar dan pertambahan per kapita, malah turut memberi perhatian terhadap usaha untuk meningkatkan pendapatan isi rumah.

Bank Rakyat hari ini turut mengumumkan pemberian dana zakat RM1 juta untuk bantuan kepada mangsa banjir.

Di samping itu beliau mengumumkan jalan di hadapan Menara Kembar Rakyat iaitu sebahagian Jalan Travers, dinamakan sebagai Jalan Rakyat.


Artikel Lain