suria

KDN Bertindak Jika Penulisan Cetuskan Suasana Tidak Baik - Zahid Hamidi

Zahid bersalaman dengan anggota Imigresen pada perhimpunan bulanan KDN, Khamis

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bertindak sekiranya terdapat penulisan yang didapati boleh mencetuskan suasana tidak baik kepada masyarakat dan negara, kata Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, KDN akan berada di barisan hadapan untuk memastikan suasana sedemikian tidak terjadi.

"Jadi, apabila kita bergerak mengambil tindakan, jangan pula kita dituduh zalim kerana kita menegakkan peraturan supaya tidak berlaku huru-hara dalam negara...itu tugas KDN dan agensi di bawahnya," katanya ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu pada perhimpunan bulanan kementeriannya di sini, Khamis.

Beliau berkata, penulisan berbentuk tohmahan dan fitnah sengaja ditulis bagi menimbulkan suasana tidak harmoni dan perkara itu sememangnya diinginkan oleh pihak tertentu, apatah lagi ia melibatkan KDN.

"Mereka yang bertugas di KDN akan membaca dan melihat dengan teliti setiap perkataan yang ditulis dan akan bertindak sekiranya berita atau penulisan itu boleh mencetuskan suasana tidak baik kepada masyarakat dan negara," katanya.

"Kita tidak mahu negara ini menjadi porak-peranda dan kita mahu sebelum keadaan itu berlaku KDN berada di barisan hadapan untuk menentukan perkara itu tidak terjadi," katanya lagi.

Ahmad Zahid menasihatkan warga KDN agar cekal dan tidak perlu gentar dalam melaksanakan tugas mengekalkan keamanan dan keharmonian walaupun sering difitnah dan digambarkan secara negatif melalui penulisan tertentu.

Beliau berkata, dalam era dunia tanpa sempadan, kakitangan di kementerian dan agensi perlu sedar bahawa budaya memutarbelit menjadi kelaziman manakala penulisan menuduh dan memburukkan orang lain bagaikan satu keseronokan pihak berkenaan.

"Tidak semua orang senang dengan kerja kita, tidak semua orang merasa terbela dengan tugas kita dan kerapkali tugas kita ditulis hanya perkara yang tidak baik.

"Maka ingatlah kritikan dan tohmahan adalah makanan dan hidangan kita, namun KDN perlu tetap berada di barisan hadapan memastikan keamanan dan keharmonian negara terus terjaga," katanya.

Beliau berkata tulisan menuduh kakitangan KDN menyokong dan mengambil sesuatu daripada individu tertentu mungkin diterbitkan atas dokongan 'kumpulan-kumpulan' sebegitu bagi mengalih perhatian ke atas tindakan yang sedang diambil pihak berkuasa kementerian.-- BERNAMA


KDN, Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Lain