suria

Sulaiman Mahbob Dilantik Pengerusi Telekom Malaysia

Sulaiman Mahbob

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) melantik Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai pengerusi baharu berkuat kuasa, Isnin.

Sulaiman menggantikan Datuk Seri Dr Halim Shafie, yang dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Kami gembira untuk mengalu-alukan Sulaiman sebagai pengerusi baharu dalam TM.

"Berdasarkan pengalaman dan pengetahuan luas beliau, kami mengharapkan bimbingan dan kepimpinan Sulaiman sejajar dengan perjalanan transformasi dan fasa perkembangan syarikat seterusnya," kata Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan TM Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa kepada Bursa Malaysia.

Sulaiman, 66, merupakan Pengerusi Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia dan Jambatan Kedua Sdn Bhd.

Beliau juga merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Tun Abdul Razak dengan mengajar bidang Ekonomi dan Dasar Awam.

Sulaiman, lulusan Ekonomi dari UM, menyambung pengajian di University of London. Beliau menyempurnakan pengajian Ph.D di Maxwell School of Citizenship dan Public Affairs di Syracuse University, Amerika Syarikat pada awal 1986.

Zamzamzairani juga menyuarakan penghargaannya kepada Halim atas dedikasi, kepimpinan dan sumbangan kepada TM Group sepanjang tempoh memegang jawatan itu.

"Kami mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan tinggi kepada Halim atas sumbangan besar kepada TM.

"Setelah lama berkhidmat dalam industri telekomunikasi, pengawasan dan bimbingan beliau telah meletakkan syarikat pada kedudukan sekarang," katanya.

Semasa menerajui TM, syarikat itu meraih beberapa pencapaian termasuk kejayaan pelaksanaan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi serta pengenalan UniFi , perkhidmatan tiga serangkai pertama di dalam negara membawa TM lebih daripada Juara Jalur Lebar dengan menjadi satu-satunya peneraju penyatuan teknologi negara.

Halim dilantik sebagai Pengerusi TM pada Julai 2009.

"Kami akan meneruskan sokongan kepada Halim atas pelantikannya di SKMM dalam merealisasikan agenda digital negara".

Sulaiman Mahbob, Telekom, Pengerusi

Artikel Lain