suria

Tiga Rumah Kedai Sederet Hangus Di Kota Tinggi

JOHOR BARU: Tiga buah rumah kedai sederet di Kampung Bayu Damai di Bandar Penawar, Kota Tinggi hangus dijilat api awal pagi Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Mohd Fadli Ismail berkata, kedai terbabit ialah bengkel membaiki motosikal, menjual peralatan logam dan kedai runcit.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 6.04 pagi dan sebuah jentera dengan lima anggota dikejarkan ke tempat kejadian seminit kemudian.

Ketika bomba tiba, api menjulang tinggi dan premis berkenaan sudah terbakar keseluruhannya, katanya.

"Kedai-kedai yang berusia hampir 10 tahun itu dikendalikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kampung berkenaan tetapi disewakan kepada para peniaga tempatan.

"Kebakaran disedari apabila ketua kampung mahu menunaikan solat subuh di sebuah masjid dan terlihat api dan asap berkepul-kepul keluar dari kedai tersebut," kata beliau.

Mohd Fadli berkata, api berjaya dipadamkan 30 minit kemudian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.
Kampung Bayu Damai, hangus, bomba

Artikel Lain