suria

Polis SPU Ajak Pemilik Pacuan Empat Roda Sertai Misi Bantuan Banjir

KEPALA BATAS: Polis Seberang Perai Utara (SPU) mengalu-alukan bantuan kenderaan pacuan empat roda (4x4) milik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau individu bagi membantu menghantar barangan keperluan yang pihaknya telah kumpulkan untuk mangsa banjir di pantai timur.

Ketua Polis Daerah SPU ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata ketika ini pihaknya kekurangan kenderaan pacuan empat roda untuk mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir.

"Kami telah menjalankan kutipan dalam kalangan pegawai dan anggota di Ibu Pejabat Polis SPU dan saya percaya penghantaran bantuan dapat dijalankan secara berperingkat sekiranya kenderaan cukup kerana ketika ini masih banyak lagi barangan yang terkumpul masih belum dihantar," katanya.

Abdul Rahman berkata pihaknya memfokus untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa yang berada di lokasi terputus hubungan dan beliau juga telah berhubung dengan polis di sana (kawasan terlibat banjir) bagi melancarkan proses pengagihan barang.

"Saya berbesar hati sekiranya ada mana-mana pihak yang sudi untuk menawarkan penggunaan kenderaan mereka bagi membantu melancarkan misi bantuan," katanya kepada pemberita selepas melepaskan konvoi bantuan kepada mangsa banjir, di sini, Khamis.

Konvoi Projek Jiwa Murni itu disertai 12 anggota yang membawa pelbagai kelengkapan dan makanan yang dikumpulkan termasuk biskut, air mineral, susu, lilin serta pakaian kanak-kanak.

Selasa lepas sebanyak lima buah kenderaan pacuan empat roda turut berkonvoi menerusi program bantuan yang sama.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata 50 pegawai dan anggota polis dari SPU akan dihantar ke kawasan banjir bagi membantu kerja pembersihan sejurus selepas banjir berakhir.

"Kami akan bekerjasama dengan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan bersedia untuk menghantar anggota yang diperlukan bila-bila masa sahaja.

Kami juga komited dan sentiasa bersedia untuk membantu bagi meringankan beban mangsa bencana banjir terutamanya di pantai timur," katanya.


Banjir, SPU, Polis, Kelantan

Artikel Lain