suria

Tengku Abdullah Nasihat Penduduk Berpindah Sebelum Keadaan Buruk

Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah walaupun dalam keadaan bertongkat akibat sakit kaki, masih meluangkan masa berjumpa rakyat yang menjadi mangsa banjir di Sekolah Menengah Padang dekat sini, Isnin malam.
Mangsa-mangsa banjir dari Kampung Pandan, Chendering dan Lubuk Puyu terpaksa kembali ke pusat pemindahan banjir tersebut selepas kampung mereka dilanda banjir sekali lagi.

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menasihati penduduk di kawasan yang berisiko mengalami banjir agar segera berpindah ke pusat pemindahan sebelum keadaan menjadi bertambah buruk.

Baginda bertitah ia bagi memudahkan pihak dan agensi yang terlibat dalam urusan pemindahan.

"Saya ingin menasihat juga kepada semua penduduk secara langsung atau tidak langsung dalam soal pemindahan supaya dapat pindah secepat mungkin. Jangan sudah terdesak, baru nak pindah kerana ini boleh menyusahkan ramai pihak," titah baginda kepada pemberita semasa melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan di sini, Isnin malam.

Pusat itu menempatkan 545 orang terdiri 149 keluarga.

Baginda turut menasihati penduduk di pusat pemindahan supaya bersabar dan menerima segala keperluan yang disediakan kerajaan negeri.

"Saya percaya kerajaan negeri sedang berusaha untuk memberi segala keperluan yang mencukupi dan melakukan pengurusan dengan lebih teratur," titah baginda.

Mangsa banjir di Pahang dilapor meningkat kepada 2,386 orang daripada 560 keluarga di lima daerah iaitu Kuantan, Pekan, Maran, Jerantut dan Lipis.

Pekan, Maran, Jerantut dan Lipis merupakan daerah terbaharu yang dinaiki banjir.


Banjir, Pahang

Artikel Lain