suria

RM2 Juta Denda Peniaga Ingkar Naik Harga Barang

SHAH ALAM: Denda ke atas pengusaha yang mengingkari Akta Kawalan Harga akan dinaikkan kepada RM1 juta atau RM2 juta mulai awal tahun depan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek berkata, ia telah dipersetujui kabinet, Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan akan diwartakan tidak lama lagi.

"Kami sering mendengar rungutan daripada rakyat yang denda dikenakan kini adalah terlalu rendah dan mengakibatkan kesalahan seperti penipuan dan ketirisan subsidi semakin berleluasa," katanya di majlis pelancaran peraduan 'Shell Win Free Fuel', di sini, Selasa.

Menurutnya, denda antara RM100,000 hingga RM200,000 yang dikenakan sekarang tidak begitu efektif dalam mengekang peniaga tidak bertanggungjawab melakukan penipuan atau mengambil untung secara berlebihan.

Sementara itu, Hasan juga memaklumkan bahawa rancangan untuk mewujudkan Mahkamah Khas Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) sedang dalam peringkat akhir.

Antara perkara yang sedang diteliti ialah pelantikan hakim dan lokasi mahkamah, memandangkan ia akan dibangunkan mengikut zon.

"Apabila ia (Mahkamah CBP) mula beroperasi pada tahun depan, semua kes yang melibatkan sistem cukai baharu itu akan dibawa ke mahkamah ini.

"Ini termasuk syarikat yang dikenal pasti Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah melakukan penipuan dan pemalsuan pendaftaran serta pengisytiharan CBP," katanya.

Sebuah akhbar tempatan pada Selasa, melaporkan Pengarah CBP Kastam, Datuk T Subromaniam berkata, mereka mengesan penipuan oleh beberapa syarikat dan individu daripada 236,610 pendaftaran yang diterima sehingga kelmarin.

Hasan berkata, kementerian tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk menarik balik lesen perniagaan mereka.

Sementara itu, peraduan 'Shell Win Free Fuel' yang bermula hari ini sehingga 15 Mac 2015 adalah satu cara syarikat itu memberi ganjaran kepada pelanggan setia dengan menawarkan bahan api percuma selama setahun.

Seramai 10,000 pelanggan Shell berpeluang memenangi bahan api bernilai lebih RM2 juta apabila mereka membeli petrol dan diesel Shell bernilai RM30, termasuk Shell FuelSave dan Shell V-Power di mana-mana stesen Shell di seluruh negara.

Pelanggan perlu mengisiboirang peraduan dengan menjawab soalan mudah dan mengepil resit asal.

Tiga pemenang hadiah utama akan dipilih setiap bulan di mana setiap pemenang memperolehi bahan api percuma selama setahun bernilai RM10,000 dan seramai 835 pelanggan lagi akan memenangi bahan api bernilai RM200 setiap minggu. 


Shell, CBP. Kastam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain