suria

UPSR 2014 Tak Batal, Kecuali Ujian Semula BI, Sains - Kementerian Pendidikan

Idris menunjukkan buku garis panduan prosedur pengurusan dan pengendalian Lembaga Peperiksaan Malaysia pada sidang media, Jumaat.
PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan sekali lagi menegaskan bahawa semua kertas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak akan dibatalkan kecuali Bahasa Inggeris (BI) dan Sains yang berlaku kebocoran.

 

Menteri Pendidikan ll, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, tiada pembatalan selain kertas peperiksaan UPSR BI 014/1 dan 014/2, dan Sains 018, 028 dan 038.

Katanya, tarikh baharu bagi calon menduduki semula ujian subjek BI dan Sains adalah pada 30 September ini.

Mengenai Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai pengendalian dan pengurusan peperiksaan awam, katanya, ia telah diperbaharui tahun lalu selepas dikaji semula dan diperketatkan.

"SOP ini adalah rangka kerja dari mula pembinaan soalan, penyeliaan kertas soalan kepada mencetak, pengkotakan, pengedaran sehingga kepada buka dan pengurusan kertas soalan, sambil diiringi polis. Sehingga kini, Lembaga Peperiksaan Malaysia mempunyai prosedur ketat.

"Bagaimanapun kita akan mewujudkan satu jawatankuasa bebas yang terdiri daripada individu berprofil tinggi bagi meneliti semula SOP ini," katanya pada sidang media di sini, Jumaat.

Kertas soalan UPSR BI 1 dan 2 dan kertas peperiksaan Sains 018, 028 dan 038 didapati berlaku kebocoran.

Lembaga Peperiksaan Malaysia pada Khamis mengumumkan 30 September ini sebagai tarikh baharu bagi peperiksaan kertas berkenaan.

Mengulas lanjut, Idris berkata, jawatankuasa bebas itu akan dianggotai pakar dalam pelbagai bidang antaranya teknologi maklumat, keselamatan dan logistik.

"Mereka akan memastikan kebocoran ini tidak akan berterusan. Mereka akan memberi nasihat berhubung SOP dan kita akan terus memperketatkannya lagi," katanya.

Pada sidang media tersebut, Idris turut menunjukkan buku Garis Panduan Prosedur Pengurusan dan Pengendalian Peperiksaan Awam, Lembaga Peperiksaan Malaysia setebal lebih 800 muka surat, di samping menjelaskan secara ringkas mengenai prosedur ketat pengendalian kertas peperiksaan. 


BI, Sains, UPSR, Datuk Seri Idris Jusoh

Artikel Sebelum

Anwar Nafi Setuju Laksana GST

Artikel Berikut

Artikel Lain