suria

PRK Pengkalan Kubor: Tidak Dapat Tanding, PKR Negeri Janji Sokong PAS

Wan Rosdi Wan Ibrahim diumumkan sebagai calon PAS yang akan bertanding pada PRK Pengkalan Kubor. Foto SAZUKI EMBONG / THE STAR

TUMPAT: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan yang menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor kepada PAS berjanji akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada rakan sekutunya itu.

Naib Ketua PKR negeri Saharun Ibrahim berkata,  tidak kira parti mana sekali pun dalam Pakatan Rakyat yang bertanding, PKR akan berdiri utuh bersama Pakatan Rakyat dan bersedia menyokong calon yang dipertaruhkan.

"Sebagai wakil PKR negeri suka untuk menyatakan bahawa mana-mana parti di dalam Pakatan Rakyat yang bertanding di Pengkalan Kubor akan kami beri sokongan sepenuhnya.

"Bersama-sama dengan tiga parti, kami akan tetap berdiri teguh demi kemenangan di PRK Pengkalan Kubor," katanya ketika menyampaikan ucapan di majlis perisytiharan calon PAS di Kampung Geting di sini, malam Khamis.

Beliau yang juga calon PKR yang tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Noor Zahidi Omar di DUN Pengkalan Kubor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) berkata, Presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga mahu PAS diberi sokongan sebagai tanda pemuafakatan parti yang mahu rakyat menjadi keutamaan.

Sambil memberikan isu kenaikan harga barang akibat GST yang akan dilaksanakan tahun depan sebagai contoh isu yang akan membebankan rakyat, beliau menggesa supaya isu-isu politik yang berlaku sejak kebelakangan ini diketepikan.

"Oleh kerana kita utamakan rakyat, maka kita tak perlu mengutamakan perkara remeh-temeh sebelum ini.

"Bila diputuskan calon PAS (bertanding) terimalah calon tersebut," katanya kepada orang ramai yang hadir di majlis tersebut.

Pada Kongres PKR 2014 yang berlangsung baru-baru ini, Saharun mendakwa kekalahannya di DUN Pengkalan Kubor disebabkan sabotaj dalaman dan tidak mendapat kerjasama daripada PAS.

Beliau mendapat 8,438 undi berbanding Noor Zahidi yang mendapat 10,174. Seorang lagi calon Bebas, Izat Bukhary Ismail Bukhary hanya mendapat 65  undi.

Kerusi DUN Pengkalan Kubor pada asalnya milik PAS tetapi telah diberikan kepada PKR pada PRU 2008 dan 2014, namun PKR tewas kepada BN.

Pada Selasa, Dr Wan Azizah dalam satu kenyataan berkata, PKR memberi laluan kepada PAS demi memastikan kesepakatan bersama terus utuh dalam menentang calon BN untuk merampas kembali kerusi tersebut. 

Jelas beliau, Pakatan Rakyat perlu menumpukan perhatian kepada keperluan dan permasalahan rakyat.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain