suria

PRK Pengkalan Kubor: PAS Pertaruh Kontraktor Binaan

Datuk Ahmad Yakob (kanan) bersama calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim (kiri). -NORAFIFI EHSAN/The Star
TUMPAT: Kontraktor binaan, Wan Rosdi Wan Ibrahim diumumkan sebagai calon PAS yang akan bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor 25 September ini.

Berusia 57 tahun, Wan Rosdi adalah anak tempatan yang berjaya dan berpengalaman di negeri Kelantan.

Pengumuman dibuat oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sehari selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan Mat Razi Mat Ail, 49, untuk bertanding di DUN tersebut.

Beliau berkata Wan Rosdi dipilih selepas meneliti latar belakang dan pengalamannya yang dikenali masyarakat tempatan.

"Beliau boleh menjadi wakil rakyat kerana kerja-kerja wakil rakyat yang telah dilaksanakan oleh beliau.

"Atas pengalamannya yang sentiasa mendampingi rakyat selama ini menjadi faktor utama untuk beliau terus berkhidmat kepada rakyat," katanya pada majlis perisyitiharan calon PAS bagi PRK Pengkalan Kubor di Kampung Geting di sini, malam Khamis.

Hadir sama timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, pimpinan tertinggi PAS negeri dan Naib Ketua PKR negeri Profesor Madya Saharun Ibrahim.

Ahmad Yakob yang juga menteri besar Kelantan berkata, selain keperibadiannya yang sederhana, Wan Rosdi juga banyak terlibat dalam penyusunan program-program dalam parti dan pentadbiran negeri.

"Dia berwibawa dari segi kontraktor binaan.

"Kita menzahirkan yang sebenar, kita tak mahu berselindung supaya rakyat dapat beri kepercayaan kepada beliau yang telah memberikan khidmat terbaik," katanya.

PRK DUN itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Noor Zahidi Omar, 57, pada 20 Ogos lalu, akibat kanser hati.

Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 September ini sebagai tarikh penamaan calon manakala pengundian pada 25 September.

Berdasarkan daftar pemilih terkini SPR, kawasan DUN berkenaan mempunyai 24,039 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 23,929 pemilih biasa, 109 pemilih awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara (PTH).

Ia merangkumi 12,462 (51.84 peratus) pengundi lelaki, wanita 11,577 (48.16 peratus) dan pengundi berdaftar paling ramai adalah kategori umur 30 hingga 39 tahun iaitu 5,744 atau 23.89 peratus.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain