suria

UPSR: Pengarah Lembaga Peperiksaan Buat Laporan Polis

Dr Na'imah Ishak
PUTRAJAYA: Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia Dr Na'imah Ishak membuat laporan polis berhubung kebocoran kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan 014/2 (Kertas 1 dan 2) bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Laporan itu dibuat pada 7.50 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini selepas beliau mendapati paparan di sebuah akhbar tabloid Bahasa Melayu hari ini sama dengan soalan sebenar kertas peperiksaan Bahasa Inggeris UPSR.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Abdul Razak Abdul Majid berkata kes akan disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

"Keterangan pengadu telah diambil. Polis masih menjalankan siasatan. Setakat ini, tiada tangkapan dibuat," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Ini merupakan laporan polis kedua dibuat Dr Na'imah.

Pada Rabu, beliau membuat laporan berhubung kebocoran kertas peperiksaan Science 018, 028, 038 di IPD sama.

Kertas peperiksaan 018, 028, 038 bagi UPSR 2014, yang dijadualkan hari ini, telah ditangguhkan ke 30 September.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain