suria

Nasruddin Tidak Minta Maaf Isu 'Fitnah' Kerajaan P.Pinang

Nasruddin Hassan Tantawi.

PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi membangkitkan lagi ketegangannya dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, apabila menyatakan bahawa dakwaan beliau memfitnah kerajaan negeri adalah tidak berasas. 

Beliau berkata, hakikatnya sesetengah pihak dari Pakatan Rakyat 'menyerang' Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung beberapa isu dan bukannya Lim, menunjukkan "pilih kasih dan tindakan orang yang mengambil kesempatan".

Nasruddin yang berkata demikian di Facebooknya pada Jumaat menyifatkan tindakan hanya menumpukan Khalid mengenai isu pembinaan projek Lebuhraya Kinrara Damansara (Kidex) adalah tidak adil, kerana projek pembinaan Terowong Dasar Laut di Pulau Pinang juga turut sama mencetuskan kontroversi.

"Projek pembinaan Terowong Dasar Laut Pulau Pinang dijadikan contoh kerana ia mempunyai isu yang boleh dipersoalkan sebagaimana isu Kidex turut dipersoalkan. Banyak pihak tidak bersetuju dengan tahap ketelusan projek pembinaan Terowong Dasar Laut Pulau Pinang dan ia telah disuarakan sejak suku kedua tahun 2013.

"Kenyataan saya tempoh hari adalah dari dapatan dan data awam sebagai asas persoalan yang diketengahkan mengenai isu terowong tersebut. Justeru itu, dakwaan kononnya saya melakukan fitnah dan pembohongan adalah tidak berasas sebagaimana yang disebut oleh Lim Guan Eng," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Lim memberi pilihan kepada Nasruddin untuk memohon maaf dan menarik balik dakwaan beliau yang projek dasar laut bernilai RM3.6 bilion itu diberi menerusi tender rundingan dan bukan secara terbuka.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain