suria

Tiada Rombakan Kabinet, PM Umum 3 Menteri Baharu

PETALING JAYA: Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan timbalannya, Datuk Wee Ka Siong masing-masing dilantik menganggotai Kabinet Persekutuan sebagai menteri penuh.

Turut dilantik sebagai menteri ialah Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong yang akan memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Mah Siew Keong

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan pelantikan baharu ini berkata, Liow akan memegang jawatan Menteri Pengangkutan menggantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang memangku jawatan itu selama lebih setahun.

Sementara Wee akan memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pelantikan itu diumumkan Najib dalam sidang media khas di Putrajaya pada pukul 1.18 tengah hari Rabu.

Selain itu tiga Naib Presiden MCA turut diberi portfolio sebagai timbalan menteri iaitu Datuk Lee Chee Leong (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Chua Tee Yong (Kementerian Kewangan) dan Datin Paduka Chew Mei Fun (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Barisan anggota Kabinet baharu ini akan mengangkat sumpah jawatan, taat setia dan menyimpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat ini.

"Pengumuman pelantikan anggota baharu Kabinet pada hari ini sudah tentu berkait rapat dengan hasrat kita membentuk pasukan yang jitu untuk memimpin rakyat dari pelbagai kaum dan ragam dengan jayanya.

"Saya merasa gembira kerana wakil dari MCA yang mewakili kaum Cina dapat kembali berada dalam Kabinet. Begitu juga dengan wakil parti Gerakan," kata Najib dalam sidang media yang turut dihadiri timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dari kiri: Lee Chee Leong, Chua Tee Yong dan Chew Mei Fun.

Pengumuman pertambahan jawatan menteri dan timbalan menteri itu dibuat berikutan keputusan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) MCA Februari lalu yang meluluskan resolusi menerima semula jawatan dalam Kabinet selepas mendapat sokongan majoriti perwakilan.

Dalam perhimpunan agung 2011, MCA meluluskan resolusi untuk tidak menerima sebarang jawatan kerajaan jika gagal dalam PRU-13.

Pelantikan Liow ke portfolionya itu dilihat sebagai menyambung tradisi apabila jawatan Menteri Pengangkutan diperuntukkan kepada MCA.
Kabinet, Najib Tun Razak

Artikel Lain