suria

Perketat Perairan, Halang Nelayan Asing Kaut Hasil - Perikanan

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memperketat sistem kawalan keselamatan di sepanjang perairan negara bagi mencegah kejadian pencerobohan nelayan asing.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata jabatan itu setakat ini hanya dapat mengawal aktiviti nelayan tempatan di perairan negara.

"Kami juga boleh membatalkan lesen nelayan tempatan tetapi masih tidak cukup efektif kerana bot asing tetap beroperasi secara haram di negara ini," katanya selepas merasmikan mesyuarat Kumpulan Kerja Sektor Perikanan Asean ke-22 di sini, Rabu.

Beliau berkata tindakan terhadap nelayan asing yang beroperasi secara haram hanya boleh diambil oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia atau Polis Marin.

"Kami sudah jalankan peranan kami...namun agensi penguatkuasaan perlu lebih tegas dalam hal ini," katanya ketika diminta mengulas bantahan persatuan nelayan di pantai timur yang tidak berpuas hati dengan tindakan nelayan asing menceroboh perairan negara sehingga menjejaskan pendapatan mereka, di Parlimen baru-baru ini.

Sementara itu, Ahamad Sabki berkata dalam mesyuarat berkenaan, Malaysia akan berkongsi kaedah penggunaan pukat tunda bersaiz 38 mm ke atas bagi melindungi benih ikan laut daripada pupus selain menjaga kepentingan nelayan yang dikuat kuasa awal bulan ini.

"Di peringkat Asean, kita sebagai negara yang memberi sumbangan atau bekalan, perlu bekerjasama untuk menguruskan sumber ini. Bagi kita (Malaysia), kita sudah kuatkuasakan pukat tunda ini, jadi kita harap tindakan ini dapat dijadikan contoh negara lain," katanya.

Malaysia menjadi tuan rumah bagi mesyuarat kali ini yang dihadiri kira-kira 80 orang wakil delegasi negara Asean.


Perairan, Nelayan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain