suria

Kebajikan OKU Dijaga, Terima Kasih Kerana Bantu Muhammad Firdaus - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau memandang serius terhadap isu yang melibatkan Orang Kurang Upaya (OKU) seperti yang menimpa Muhammad Firdaus Dullah baru-baru ini.


Katanya, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan beliau sedih atas situasi kehidupan remaja yang ditemui dalam keadaan kurus kering di sebuah rumah di Nilai, Negeri Sembilan itu.

Muhammad Firdaus, 15, ditemui dalam keadaan kurus kering dalam bilik yang kotor dan dipenuhi najis oleh anggota Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dalam operasi bersepadu 6P di rumah pangsa Taman Semarak, Nilai, Sabtu lalu selepas melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan.

Perdana Menteri dalam status terkini akaun Facebooknya berkata, kerajaan, melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, pihak polis, serta agensi-agensi lain akan memastikan kebajikan remaja itu terpelihara.

"Saya juga berharap agar masyarakat di Malaysia bersikap lebih prihatin terhadap keperluan serta kebajikan golongan ini, dan elakkan diri daripada menuding jari semata-mata.

"Saya juga berterima kasih kepada pelbagai pihak yang telah tampil ke hadapan untuk memberikan bantuan kepada adik Muhammad Firdaus," katanya pada Selasa.

Remaja itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban.


Artikel Lain