suria

Penyokong Maktar Mahu Pemilihan Semula Di Cabang Nibong Tebal

NIBONG TEBAL: Sekumpulan anggota PKR Cabang Nibong Tebal yang juga penyokong bekas Ketua Cabang Datuk Maktar Shapee, mendesak agar pemilihan cabang itu diadakan sekali lagi atas dakwaan sabotaj dan komplot.

Wakil mereka yang juga bekas Timbalan Ketua Cabang Mohd Kamil Abu Bakar mendakwa mereka lewat diberitahu mengenai tarikh pemilihan semula itu selepas pemilihan kali pertama pada 4 Mei lepas dibatalkan gara-gara terlebih kertas undi.

Bercakap dalam sidang media di sini pada Selasa, Mohd Kamil mendakwa penyokong gandingan Maktar dan beliau hanya menerima notis rasmi pemilihan semula itu dua hari sebelum pengundian diadakan pada Ahad lepas, berbanding penyokong Datuk Mansor Othman yang diberitahu tiga minggu lebih awal, sekali gus menghalang pihaknya berkempen.

Mohd Kamil berkata pada hari Jumaat itu juga beliau dimaklumkan telah digantung daripada bertanding tanpa diberitahu sebab penggantungan berkenaan, menyebabkan beliau tidak dapat mempertahankan jawatan timbalan ketua cabang.

"Kami tak sangka dalam PKR ada pejuang-pejuang yang pentingkan kuasa, pangkat dan jawatan," katanya.

Menurut Mohd Kamil beliau sudah mengemukakan rayuan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berhubung hal itu selain meminta keputusan pemilihan pada Ahad lepas tidak diiktiraf.

Pada pemilihan semula Ahad lepas yang hanya dihadiri oleh 412 daripada 3,758 anggota yang layak mengundi, Mansor yang juga Anggota Parlimen Nibong Tebal memperoleh 358 undi, mengalahkan Maktar dan seorang lagi calon S. Sanjeeviramah.

Proses pemilihan PKR Cabang Nibong Tebal dilakukan semula selepas berlaku kekecohan pada pemilihan 4 Mei lepas apabila keputusan pengundian dibatalkan kerana difahamkan jumlah kertas undi yang diterima ialah 838 keping berbanding senarai daftar 672 orang.

Ditanya sama ada beliau akan keluar parti jika rayuannya tidak diterima JPP, Mohd Kamil berkata beliau tidak akan berbuat demikian kerana niatnya menyertai PKR adalah untuk memperjuangkan keadilan.

Artikel Lain