suria

Pemandu Lori Dipenjara Curi Tiga Bungkus Milo

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah mencuri tiga bungkus Milo bernilai RM53.55 di sebuah pasar raya, Isnin.

Majistret Nur Azura Murah memerintahkan hukuman terhadap Hashanizam Husain, 34, bermula daripada tarikh tangkap iaitu 23 Jun.

Hashanizam didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sungai Besi di sini pada 8 malam, mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang merupakan bapa tunggal kepada seorang anak, mengambil barangan itu tanpa membuat bayaran sebelum dikejar penjaga kedai apabila melarikan diri.

Bagaimanapun, Hashanizam cedera di muka kerana dilanggar kereta sebelum ditahan polis. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ravindran Selvaraj.

Di Mahkamah Majistret lain, seorang peniaga dipenjara enam bulan setelah mengaku bersalah mendatangkan cedera menggunakan sebatang kayu terhadap seorang lelaki, Puvanesvaran Kuppusamy, 24, awal Januari lalu.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menjatuhkan hukuman itu terhadap S. Ravichandran Sinnawasagam, 28, dan memerintahkan hukuman itu bermula hari ini.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di tempat letak kereta Scott Garden, Brickfields di sini pada 11 malam, 9 Januari lepas.

curi milo

Artikel Berikut

Artikel Lain