suria

Ibu Bapa Mengaku Tidak Bersalah Aniaya Anak

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang pada Isnin atas pertuduhan menganiaya kanak-kanak lelaki berusia enam tahun, bulan lepas.

Zuhairy Kasim, 38, dan Nor Zuliana Tahir, 32, didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu terhadap Muhammad Akhil Mustaqim Rasidy iaitu anak kandung Nor Zuliana yang juga anak tiri lelaki itu di Pangsapuri Permai Ria, Tasik Permai, Ampang dekat sini pada 12.30 tengah hari, 23 hingga 26 Mei lepas.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu merupakan kesalahan serius dan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam Badrul Munir yang mewakili Zuhairy memohon mahkamah membenarkan anak guamnya itu dijamin atas alasan ia merupakan kesalahan pertama selain mempunyai dua anak kecil bersama tertuduh kedua.

Peguam Donny Abdullah yang mewakili Nor Zuliana pula turut memohon mahkamah membenarkan anak guamnya itu dijamin kerana wanita itu mengandung lima bulan serta mempunyai enam anak termasuk empat anak hasil perkahwinan terdahulu.

Majistret Ayuni Izzati Sulaiman tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 18 Julai depan untuk sebutan kes.

Sementara itu Nor Zuliana yang berdepan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ampang turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian anak lelakinya itu.

Wanita itu didakwa melakukan perbuatan itu di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Peguamnya Donny, turut membuat permohonan sama di mahkamah agar anak guamnya dibenar diikat jamin, bagaimanapun Hakim Unaizah Mohd menetapkan Selasa sama ada Nor Zuliana boleh dijamin atau sebaliknya.

Pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Goh.


Mahkamah Ampang

Artikel Lain