suria

Tragedi MH370 Tidak Jejaskan Hubungan China-Malaysia: Nazri

Mohamed Nazri Abdul Aziz.
KUALA LUMPUR: Duta Besar China di Malaysia Dr Huang Huikang memberi jaminan hubungan kukuh antara negaranya dan Malaysia tidak akan terjejas berikutan tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata hubungan diplomatik China-Malaysia mampu memikul kesan daripada peristiwa menyayat hati itu, walaupun jumlah ketibaan pelancong China di Malaysia mencatat penurunan.

Menurut beliau duta besar itu juga memberi jaminan bahawa dari segi hubungan diplomatik, kedua-dua negara akan mampu menghadapi ujian dan hubungan baik antara Malaysia dan China tidak akan terjejas hanya kerana berlakunya satu kejadian yang tidak diduga.

"Ini tahun ke-40 kita menjalin hubungan diplomatik dengan China dan kita adalah negara anggota Asean pertama yang berbuat demikian," kata Mohamed Nazri selepas melancarkan program 'Warnarasa Malaysia A Food Galore' di sini Khamis.

Program itu diadakan dengan ihsan Royal Chulan Damansara Hotel untuk menyokong tahun Melawat Malaysia 2014 yang bertujuan menarik lebih banyak pelancong ke Malaysia dengan mempromosikan masakan tradisional dari beberapa negeri.

Mohamed Nazri berkata Huang berjanji akan menyokong usaha Malaysia memulihkan keyakinan pelancong China untuk melawat Malaysia.

Sementara itu, atas kedudukan beliau sebagai pengerusi Kesatuan Antara Parlimen Malaysia, Mohamed Nazri dan beberapa anggota parlimen mengunjungi Kedutaan China di sini Khamis.

Katanya kunjungan itu bertujuan menzahirkan semangat perpaduan dengan rakyat China dalam menghadapi saat-saat menyulitkan berikutan kehilangan pesawat MH370.

Bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014, kerajaan menyasarkan 28 juta pelancong melawat negara ini.

Pesawat MH370 hilang pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam, kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. 

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Pada 24 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan laluan pesawat Boeing 777-200ER itu "berakhir di selatan Lautan Hindi".

Gerakan mencari pesawat itu kini diteruskan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain