suria

PRK Kajang: Undi Cina Kepada BN Meningkat

KAJANG: Walaupun berpihak kepada PKR, keputusan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang menyaksikan peningkatan sokongan kaum Cina terhadap Barisan Nasional (BN), kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menurutnya, sokongan pengundi Cina terhadap BN meningkat tujuh peratus kepada 25 peratus berbanding keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

"Secara keseluruhan kami amat berpuas hati dengan pencapaian jentera B Nwalaupun tewas pada PRK ini.

"Peningkatan sokongan pengundi Cina terhadap kami membuktikan pengorbanan serta kerja keras kami tidak sia-sia," kata Liow ketika ditemui pemberita di Bilik Gerakan Induk MCA di sini malam Ahad.

Liow menyifatkan PRK itu sebagai satu permulaan buat MCA untuk meneruskan misi mentransformasikan parti.

Keputusan PRK itu memihak kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang meraih 16,741 undi berbanding 11,362 undi untuk calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun, iaitu majoriti 5,379 undi.

Pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Lee Chin Cheh daripada PKR menang kerusi DUN itu dalam pertandingan enam penjuru dengan majoriti 6,824 undi.

"Melalui PRK ini, kita dapat mengetahui mana kekuatan dan kelemahan kita dan kita akan cuba membaikinya supaya dapat mentransformasikan parti secara berkesan," kata Liow.

Bagi Chew sendiri, beliau menghargai segala sokongan, bantuan dan tunjuk ajar yang diterimanya daripada jentera BN sepanjang dua minggu berkempen di Kajang.

"Walaupun keputusan tidak berpihak kepada BN, namun kami berjaya menurunkan majoriti calon lawan dan memperoleh peratusan undi Cina lebih tinggi berbanding PRU13," kata Naib Presiden MCA itu.

Chew berkata beliau selepas ini akan memberi tumpuan penuh terhadap urusan dalaman parti, termasuk menggerakkan kerja dalam ketiga-tiga jawatankuasa dan biro di bawah jagaannya iaitu Jawatankuasa Pembangunan Masyarakat, Biro Pendidikan Politik dan Jawatankuasa Perhubungan Negeri Pulau Pinang.

Beliau juga berharap Wan Azizah melaksanakan tugasnya sebagai Anggota DU NKajang dengan penuh dedikasi dan menunaikan janji dalam manifesto yang dikemukakan.

Barisan Nasional, Cina, Kajang, MCA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain