suria

Wan Azizah Tolak Dakwaan Tidak Popular

Wan Azizah (dua kanan) bersama suaminya yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas PKR diumum memenangi kerusi DUN Kajang pada Ahad.
KAJANG:Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menolak tanggapan bahawa jumlah peratus keluar mengundi yang merosot pada PRK DUN Kajang merupakan isyarat protes daripada pengundi terhadap 'langkah Kajang' yang dirancang Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sebaliknya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang yang baharu itu menegaskan bahawa beliau menerima kenaikan undi popular sebanyak dua peratus berbanding Pilihan Raya Umum ke-13 Mei lalu.

"Tidak...tidak. Bukan tidak popular. Sebaliknya kali ini saya menerima undi popular sebanyak 59.57 peratus. Ia naik dua peratus dari dahulu," katanya ketika pemberita di sini, Ahad.

Menerusi PRK Kajang, Wan Azizah menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun dengan majoriti 5,379 undi.

Presiden PKR itu memperoleh 16,741 undi manakala Chew mendapat 11,362 undi.

Sehingga proses pengundian ditutup secara rasmi pada pukul 5 petang tadi, seramai 28,314 atau 72 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Jumlah itu merosot sebanyak 16 peratus berbanding peratusan yang dicatatkan pada PRU-13 lalu iaitu sebanyak 88 peratus.

Selain itu mengulas mengenai 'langkah Kajang' selepas diumumkan menang, Wan Azizah berkata: "Langkah Kajang akan diteruskan...ini adalah momentum kita untuk ke Putrajaya".

PKR, Barisan Nasional, Kajang

Artikel Sebelum

Artikel Lain