suria

MH370: Taklimat Berterusan Dapat Jawab Spekulasi

Ka Ting (kanan) selepas menemui keluarga penumpang MH370 di Putrajaya baru-baru ini.

BANGI: Anggota keluarga penumpang penerbangan MH370 kini lebih tenang dan yakin dengan usaha kerajaan dalam mengesan pesawat itu, setelah beberapa taklimat berterusan mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR), diberikan kepada mereka.

Duta Khas Perdana Menteri ke China Tan Sri Ong Ka Ting berkata anggota keluarga terlibat juga kini lebih rapat dan percaya dengan keikhlasan kerajaan Malaysia dalam membantu dan menjaga kebajikan mereka di sini.

"Setelah beberapa sesi taklimat yang dijalankan sejak Khamis lepas, anggota keluarga mangsa yang terlibat kini semakin faham dengan usaha mencari dan menyelamat yang dijalankan.

"Taklimat yang diberikan kepada mereka juga menampakkan hasil positif apabila dapat menjawab pelbagai spekulasi negatif yang bermain di laman sosial," katanya kepada Bernama dalam temu bual khas dengannya di sini, Ahad.

Taklimat sebelum ini turut dihadiri wakil dari Kedutaan China di Malaysia, Kementerian Pengangkutan, Jabatan Penerbangan Awam, Wisma Putra dan wakil dari MAS.

Mengulas larangan kepada media untuk memasuki hotel ini, Ong berkata ia merupakan permintaan keluarga penumpang MH370, yang tidak mahu mereka diganggu media.

Katanya sehingga semalam jumlah keluarga penumpang dari luar negara yang masih lagi berada sini adalah sebanyak 21 dari China, India (6) dan New Zealand (1).

Keluarga penumpang warga China kelmarin dipindahkan ke sini dari Hotel Cyberview kerana hotel itu telah ditempah awal sempena Perlumbaan Grand Prix F1 Malaysia yang akan berlangsung pada 28 hingga 30 Mac ini di Litar Sepang.

Pesawat MAS MH 370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal ke Beijing, China hilang pada 8 Mac kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lalu.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.

MH370, China, MAS

Artikel Lain