suria

MH370: Pencarian Berbetuk Visual di Lautan Hindi

KUALA LUMPUR: Operasi di selatan Lautan Hindi pada AHad untuk mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang, melibatkan usaha mencari secara visual objek yang dikenal pasti satelit China pada 18 Mac.

Pengurus besar Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) John Young berkata walaupun usaha itu mengambil banyak masa dan menyulitkan, namun ia akan tetap diteruskan.

"Kami merancang untuk meneruskan usaha mencari secara visual objek yang telah dikenal pasti di dalam imej visual berkenaan," katanya pada sidang akhbar di Canberra, Australia yang disiarkan secara langsung oleh CNN.

Pada Sabtu, sebuah satelit China menunjukkan satu objek berukuran 22 meter panjang dan 13 meter lebar kira-kira 1,550km di barat daya Perth.

Objek itu dikesan satelit pencerapan bumi China 'Gaofen-1' kira-kira pada tengah malam 18 Mac (waktu Beijing).

Pada sidang akhbar sama, ketua Pusat Penyelarasan Menyelamat AMSA Mike Barton berkata usaha mencari secara visual itu merupakan suatu perubahan seratus peratus dan operasi itu memberi tumpuan di kawasan lebih khusus dengan berpandukan imej satelit tersebut.

Katanya lapan pesawat terdiri daripada empat pesawat tentera dan empat pesawat awam menggunakan khidmat sukarelawan kecemasan yang terlatih dalam kaedah pemerhatian, dihantar ke loksi yang dikenal pasti.

"Kawasan tumpuan sering berubah akibat perubahan pergerakan air dan kami terus menjejakinya dengan menggunakan boya datum khas serta mendapatkan pendapat pakar daripada organisasi tertentu...kami gabungkan semua maklumat yang ada dengan imej satelit dalam membuat pencarian di kawasan berkenaan.

"Malam ini, kami akan lakukannya sekali lagi serta pergi ke kawasan carian dan akan terus berbuat demikian sehinggalah kami mendapat sesuatu berkaitan objek yang dikesan di kawasan itu," katanya.

Barton berkata imej satelit terbaharu yang dikeluarkan China adalah sama dengan imej yang dikesan satelit Australia beberapa hari lepas di kawasan terbabit.


MAS, MH370, Australia, China

Artikel Lain