Peruntuk Subsidi, Bela Segera Nasib Penoreh Getah - Pemuda PAS - Semasa | mStar

Peruntuk Subsidi, Bela Segera Nasib Penoreh Getah - Pemuda PAS

Suhaizan Kaiat

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa meneliti segera masalah-masalah penoreh getah di negara ini yang berdepan kemelut harga getah sekerap yang rendah.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat berkata pendapatan bulanan sebahagian besar penoreh getah pada masa kini berada di bawah paras kemiskinan akibat aras harga getah yang rendah.

"Penoreh getah yang mengambil upah untuk kebun seluas dua relung (1.4 ekar) pendapatan bulanan yang mampu mereka perolehi hanya sekitar RM400 ke RM500 sahaja.

"Jumlah pendapatan sebegini menyebabkan sebahagian besar penoreh berada di bawah paras kemiskinan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini, Isnin.

Menurut Suhaizan getah sekerap atau dikenali getah buku kini berada pada harga sekitar RM2.50 sekilogram.

Bagaimanapun katanya, getah pernah berada pada aras terendah iaitu RM1.90 sekilogram.

Ketua Pemuda PAS Johor ini berkata sebagai penyelesaian jangka pendek, kerajaan disaran memperuntukkan sejumlah subsidi kepada para penoreh.

"Ia sementara proses kajian dan semakan lebih terperinci dijalankan bagi mengatasi masalah harga getah yang kian 'membunuh' para penoreh," katanya.

Dalam pada itu, kerajaan juga digesa segera merangsang usaha penyelidikan menghasilkan produk berasaskan getah untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

Katanya, perhatian yang lebih perlu diberikan terhadap penyelidikan getah asli di bidang kritikal seperti kejuruteraan, perubatan, marin dan pembinaan.

"Produk berasaskan getah asli ini lebih mesra alam berbanding getah tiruan.

"Malangnya penyelidikan getah seolah-olah tidak mendapat perhatian kerajaan sehingga produk berasaskan getah asli tidak mampu bersaing dengan produk berasaskan getah tiruan," jelasnya.

Beliau turut mencadangkan kerajaan memberikan alternatif kepada para penoreh melalui insentif perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Suhaizan turut mengambil contoh situasi penoreh getah di Kedah iaitu di Sik, Baling dan Padang Terap yang telah mengadakan demonstrasi bagi membantah tindakan kerajaan yang didakwa hanya berpeluk tubuh dalam berdepan kemelut harga getah.

Tambahnya, penoreh di kedah juga biasanya mengerjakan tanah seluas dua relung dan hanya mengambil upah menoreh kerana ketiadaan tanah.

Dalam perkembangan sama, satu perhimpunan yang dinamakan Perhimpunan Rakyat Membantah Kemerosotan Harga Getah akan diadakan di Baling, Kedah pada 5 April ini.

"Berdasarkan rasa simpati, Pemuda PAS menyokong perhimpunan ini dan akan turun beramai-ramai memberi sokongan terhadap nasib penoreh getah di seluruh negara," katanya.

Perhimpunan anjuran PAS Kedah itu katanya dijangka akan bermula pukul 2 petang sehingga lewat malam.

getah , penoreh , pemuda PAS , subsidi

Artikel Sebelum

Jangan Banding LCCT dengan KLIA2

Artikel Berikut

Warga Asing Perlu Bayar Kos Perubatan

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

Artikel Lain

Bapa Wan Azizah meninggal dunia

Vardy catat rekod gol luar biasa EPL