suria

Penamatan Khidmat Kakitangan PHSB Untuk Elak Pertindihan Tugas - PKNS

SHAH ALAM: Perkhidmatan lebih 20 kakitangan kontrak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd (PHSB) ditamatkan bagi mengelakkan berlakunya pertindihan tugas dalam operasi perbadanan itu.

Pengurus Perhubungan Awam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Ishak Hashim berkata tindakan itu berikutan PKNS mempunyai kakitangan tetap yang turut mempunyai kepakaran dalam bidang yang sama.

"Perkhidmatan 20 anggota berkenaan di PKNS telah dibuat berperingkat secara kontrak seawal 2010 bertujuan untuk mengisi jawatan dan memperkukuhkan beberapa bahagian baharu di PKNS antaranya pemasaran, pembangunan bisnes, strategi dan media, pelaburan dan pengurusan organisasi serta integriti.

"PKNS berpandangan tiada keperluan untuk meneruskan perkhidmatan 20 pegawai tersebut memandangkan kepakaran dan pengalaman yang sama sudahpun sedia ada di kalangan pegawai tetap di PKNS," katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.

Pada Selasa, PHSB yang merupakan anak syarikat PKNS, menamatkan perkhidmatan kakitangan kontraknya tanpa sebarang sebab munasabah, dengan notis 24 jam berkuat kuasa 3 Februari lepas.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 23 kakitangan PHSB yang ditamatkan perkhidmatan hari ini membuat laporan di Jabatan Perhubungan Perusahaan Selangor di sini.

Wakil pekerja terbabit, Dr Alif Aiman berkata laporan itu dibuat bertujuan untuk mempertahankan hak mereka sebagai pekerja.

"Kami difahamkan tiada kontrak yang tamat, ada pekerja yang masih mempunyai 12 bulan kontrak, tiga bulan kontrak dan ada yang dilanjutkan kontrak mereka, jadi prestasi (kerja) tidak menjadi isu dalam hal ini," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di jabatan itu.

Turut hadir, Timbalan Presiden Kesatuan Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)Abdullah Sani Abdul Hamid.

Dr Alif, yang merupakan Pengurus Kanan Pemasaran PKNS berkata PKNS harus membayar pampasan di atas penamatan perkhidmatan itu.

Sementara itu, Abdullah Sani menyifatkan perbuatan PHSB adalah zalim dan melanggar Akta Pekerjaan 1955. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain