suria

Tidak Ada Kes Salah Guna Wang Di Finas - Raja Rozaimie

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Raja Rozaimie Raja Dalnish Shah hari ini menjelaskan, bahawa perbadanan itu tidak terlibat dengan sebarang penyalahgunaan wang, tetapi hanya mengalami masalah penyediaan akaun.

Beliau berkata masalah itu melibatkan akaun Finas yang tidak boleh disahkan oleh Jabatan Audit Negara dalam urusan aliran tunai dan penyesuaian bank.

Katanya perkara itu telah dimaklumkan semasa pertemuan dengan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi memberi penjelasan berhubung pengurusan kewangan Finas.

"Secara keseluruhannya PAC menerima sebab-sebab yang kami berikan dan Finas akan tunggu langkah susulan PAC selepas ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan pengambilan sesi kedua program Latihan Sektor Kreatif di Universiti Kuala Lumpur di sini.

Pada Rabu, Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata PAC akan memanggil bekas Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan dua bekas Ketua Pengarah Finas Datuk Mohd Mahyidin Mustakim dan Mohd Naguib Raza berhubung pengurusan kewangan Finas yang 'kurang memuaskan' pada 2009-2012.

Kes Finas itu membabitkan kelemahan dalam kawalan pengurusan, bajet, kawalan penerimaan, kawalan perbelanjaan dan pengurusan akaun amanah.

Raja Rozaimie berkata Finas telah pun membuat penambahbaikan dalam pengurusan akaun bagi memastikan ia teratur dan dikemas kini susulan cadangan Laporan Ketua Audit Negara 2012. - BERNAMA

Artikel Lain