suria

Pekerja Malaysia Kurang Berpuas Hati Dengan Peluang Kemajuan, Gaji - Kajian

KUALA LUMPUR: Pekerja Malaysia tidak berpuas hati dengan peluang kemajuan dan gaji mereka, demikian menurut satu kaji selidik.

Penemuan oleh portal pengambilan pekerja, JobsCentral Malaysia, menunjukkan bahawa purata skor kebahagiaan kerja pada 2013 ialah 59.05 peratus, turun dari 60.4 peratus pada 2012.

Ini menunjukkan purata kepuasan kerja pekerja bandar di Malaysia berkurangan secara beransur-ansur, kata JobsCentral.

Kajian itu dijalankan terhadap 3,508 rakyat Malaysia yang bekerja, yang menerangkan kedudukan faktor dalam kehidupan bekerja mengikut kepentingan dan setakat mana kepuasan hati mereka dengan faktor ini dalam pekerjaan semasa mereka.

Dari skala satu hingga 10, dengan satu sebagai amat tidak berpuas hati dan 10 yang paling berpuas hati, responden hanya memberikan skor purata 5.47 untuk peluang kemajuan.

Gaji dan autonomi di tempat kerja juga mendapat skor lebih rendah, masing-masing pada 5.77 dan 5.87.

Bagaimanapun, pekerja paling berpuas hati dengan hubungan rakan sekerja (7.34 ), diikuti dengan lokasi kerja (7.07) dan keadaan tempat kerja yang selamat (7.04), demikian menurut hasil kaji selidik itu.

"Kebahagiaan kerja adalah faktor penting yang mempengaruhi produktiviti dan inovasi. Pekerja Malaysia inginkan peluang kemajuan kerjaya dan gaji.

"Bagaimanapun, faktor-faktor ini pada kedudukan tahap kepuasan rendah, yang menunjukkan ketidakpadanan yang ketara tentang harapan dan realiti," kata Ketua Pegawai Eksekutif JobsCentral Malaysia Hee Kim Fah.

Beliau berkata majikan perlu menangani isu ini untuk meningkatkan kebahagiaan kerja. - BERNAMA

Artikel Lain