suria

Kestabilan Politik Dan Keamanan Malaysia Yakinkan Pelabur Perancis - Duta

Ismail
Ismail
Ismail

CAEN (Perancis): Kestabilan politik dan keamanan yang masih subur meletakkan Malaysia sebagai lokasi yang meyakinkan para pelabur serta pedagang Perancis, kata Duta Besar Malaysia di Perancis Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata faktor itu juga memperkukuhkan hubungan ekonomi Malaysia dan Perancis dan menjadikan kedua-dua negara sebagai rakan dagang yang baik.

Bercakap dalam wawancara dengan Bernama di sini pada Selasa, beliau berkata pelabur Perancis berada pada kedudukan ke-14 terbesar dalam sektor pembuatan di Malaysia dengan nilai pelaburan kira-kira AS$1 bilion.

Sektor utama pelaburan Perancis termasuk produk petroleum, logam asas, mesin dan peralatan, kimia, aeroangkasa dan pengangkutan.

Antara pelabur utama Perancis di Malaysia pada masa ini termasuk Lafarge, Eurocopter, Messier-Bugatty Dowty (MBD), Marigold, DCNS, Arkema, Cofely GDF Suez, Air Liquide dan Saint-Gobain.

Sektor perdagangan pula menyaksikan Perancis sebagai rakan dagang ke-16 terbesar dengan nilai perdagangan antara kedua-dua negara pada 2012 sebanyak AS$6.02 bilion manakala sehingga Ogos 2013 sebanyak AS$3.54 bilion.

Ismail berkata keamanan negara dan kestabilan politik terus perlu kekal bagi memastikan negara ini pada iklim yang baik untuk para pelabur dan pedagang.

Dalam sektor pelancongan, beliau berkata Tourism Malaysia juga sedang berusaha meningkatkan jumlah pelancong Perancis ke Malaysia termasuk melalui kempen Tahun Melawat Malaysia 2014.

Pada tahun lalu sebanyak 136,137 pelancong Perancis telah melawat Malaysia berbanding sebanyak 127,980 pada 2011 dengan peningkatan sebanyak 6.4 peratus.

"Jumlah itu dijangka meningkat melalui kempen-kempen yang diadakan di samping hubungan erat rakyat Malaysia dan Perancis terutama pada 2014," katanya.

Menurutnya, antara Januari dan Jun 2013, sebanyak 75,121 pelancong Perancis telah melawat Malaysia berbanding 68,530 pelancong pada tempoh yang sama tahun lalu dengan menyaksikan peningkatan sebanyak 9.6 peratus.

Ada rakyat Perancis yang menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua mereka disebabkan kejayaan negara ini mengekalkan keamanan dan kestabilan politik di samping budaya mesra rakyat Malaysia, kata Ismail.

Menurutnya, perkhidmatan penerbangan terus Malaysia Airlines tujuh kali seminggu antara Kuala Lumpur dan Paris dan Air France tiga kali seminggu akan menyumbang peningkatan pelancong Perancis ke Malaysia.

Beliau berkata industri pelancong Malaysia akan terus berkembang jika sumber alam diberi jagaan sempurna termasuk sungai-sungai yang indah di negara ini.

"Di Perancis, sungai-sungai dipelihara dengan baik dan budaya menjaga sungai antara yang boleh dicontohi," katanya.

Dalam sektor pendidikan, beliau berkata Malaysia dan Perancis mempunyai hubungan yang baik sejak lebih 30 tahun lalu dan pada awal 1980, negara ini telah mula menaja pelajar yang melanjutkan pengajian di Perancis.

Pada masa ini kira-kira 1,000 pelajar Malaysia dilaporkan berada di Perancis namun hanya 616 yang berdaftar dengan kedutaan yang terdiri daripada 336 pelajar tajaan JPA, 161 pelajar tajaan MARA, 54 pelajar tajaan Kementerian Pendidikan di samping para pelajar tajaan Petronas, Telekom dan pelajar biayaan sendiri. - BERNAMA

Artikel Lain